PETALING JAYA: Malam yang agak malang buat Harimau Malaya apabila tewas 0-3 kepada juara bertahan, Vietnam selain kehilangan beberapa tonggak susulan kecederaan dalam aksi ketiga Kumpulan B, Piala AFF.
Saingan di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi menyaksikan Malaysia kehilangan dua pertahanan tengah tulen, Aidil Zafuan Ab. Radzak dan Shahrul Saad yang cedera, masing-masing pada babak pertama serta kedua.
Dihimpit kekurangan pemain, mujur Harimau Malaya mempunyai masa kira-kira seminggu untuk menjalani proses pemulihan menjelang pertemuan terakhir peringkat kumpulan menentang Indonesia, Ahad ini.
Pertahanan dari Eropah, Dion Cools dijangka tiba di Singapura Rabu ini, sekali gus tepat pada masa untuk mengisi kekosongan yang ada di bahagian bek tengah.
Dua jaringan pada babak pertama melibatkan Nguyen Quang Hai dan Nguyen Cong Phuong, diikuti Nguyen Hoang Duc di separuh masa kedua, meletakkan Naga Emas menghuni tangga teratas Kumpulan B setelah berkongsi enam mata dengan Indonesia.
Kekalahan tersebut meletakkan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe di tempat ketiga selepas memungut enam mata menerusi kejayaan mengatasi Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 sebelum ini.