Harimau kumbang serang kakitangan Perhilitan ditembak mati - Utusan Malaysia

Harimau kumbang serang kakitangan Perhilitan ditembak mati

HARIMAU kumbang jantan yang menyebabkan kecederaan kepada remaja Orang Asli mati ditembak ketika menyerang kakitangan Perhilitan di Kampung Kelatap, Pos Perwor di Sungai Siput, Perak,  hari ini. - IHSAN PERHILITAN PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berdepan detik cemas apabila harimau kumbang yang dijejaki, bertindak menyerang mereka ketika operasi di Kampung Kelatap, Pos Perwor, di sini hari ini.

Harimau kumbang jantan berusia antara sembilan ke sepuluh tahun itu adalah haiwan yang menyebabkan kecederaan parah kepada remaja lelaki Orang Asli, semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 3 petang itu, mangsa berusia 18 tahun cedera dengan kesan koyakan di kepala dan lengan selepas diserang ketika mencari kayu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, tindakan haiwan liar itu yang meluru ke arah kakitangan menyebabkan mereka terpaksa melepaskan tembakan bagi menyelamatkan diri.

Katanya, seorang kakitangan telah terjatuh kerana terkejut namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pada pukul 8.30 pagi tadi, empat kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput telah menemukan Tok Batin Pos Perwor bagi mendapatkan maklumat dan menunjukkan lokasi kejadian. 

“Dalam operasi menjejaki haiwan liar yang tidak dikenal pasti spesies itu, mereka membawa bersama perangkap bersesuaian yang digunakan bagi memerangkap beruang dan harimau kumbang,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, setelah ditunjukkan lokasi kejadian, kakitangan mula menjejaki haiwan itu berdasarkan kesan-kesan yang ada dan meminta penduduk tidak ikut sama atas faktor keselamatan. 

Katanya, hasil pencarian itu membawa kepada penemuan beberapa kesan tapak dipercayai harimau selain kesan darah yang masih baharu pada rumput dan daun.

“Ketika menghampiri kawasan semak berhampiran kebun getah, kakitangan dikejutkan dengan seekor harimau kumbang yang meluru ke arah seorang  daripada mereka.

“Dalam keadaan terdesak dan cemas, seorang daripada kakitangan telah melepaskan tiga das tembakan dan mengenai harimau kumbang tersebut,” katanya.

Beliau berkata, hasil penelitian pada bangkai harimau kumbang itu didapati terdapat banyak kesan kecederaan dipercayai tetakan parang pada kepala dan peha ketika bergelut dengan mangsa semalam. 

Ujarnya, turut ditemukan pada bangkai haiwan itu seutas jerat dawai kabel di kaki kanan belakang.

“Pihak kami percaya kecederaan pada kaki kanan belakang akibat terkena jerat dawai kabel itu menyebabkan harimau kumbang berkenaan menjadi agresif dan menyerang manusia. 

“Justeru, kita menyeru orang ramai agar menghentikan perbuatan memasang jerat hidupan liar kerana ia akhirnya akan mengundang bahaya kepada manusia selain menzalimi hidupan liar berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, bangkai harimau kumbang itu dibawa ke pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput dan akan dihantar ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk bedah siasat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya