KUCHING: Cuaca di seluruh negeri Sarawak diramal cerah pada waktu pagi hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu ini.
Menurut Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca dijangka cerah di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
Bagaimanapun, ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan Sarawak di sebelah petang.
“Kawasan yang terlibat ialah Kuching, Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah, manakala kawasan Kapit dan Bintulu diramal hujan pada sebelah petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suhu pada hari mengundi pula diramal berada pada tahap antara 24 hingga 34 darjah Celsius.
Cuaca sedikit sebanyak akan mempengaruhi kadar peratusan keluar mengundi, dengan lebih 1.2 juta pengundi dijangka keluar mengundi Sabtu ini bagi memilih barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan membentuk kerajaan Sarawak baharu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru pengundi di Sarawak supaya keluar mengundi pada Sabtu ini dan menasihatkan supaya keluar mengikut masa yang dicadangkan.
“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.
“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya.-UTUSAN ONLINE