SHAH ALAM: Selain kenaikan harga barangan seperti makanan dan keperluan lain, alat ganti motosikal juga dilaporkan berhadapan situasi serupa apabila mengalami peningkatan sebanyak tiga kali sejak Januari lalu pada kadar sekitar lima hingga 10 peratus.
Perkara itu dimaklumkan peniaga alat ganti motosikal serta pemilik bengkel yang memaklumkan situasi kenaikan harga pada kali ini adalah paling ketara sejak Januari lalu.
Wabak pandemik Covid-19 dilapor antara penyumbang kepada kenaikan harga apabila berlaku sekatan pergerakan yang menyebabkan pemilik bengkel dan kedai alat ganti berhadapan dengan kekurangan bekalan.
Perkara itu didedahkan seorang peniaga alat ganti motosikal di Kota Kemuning, Nor Sherryl yang memberitahu, penjualan alat ganti motosikal turut tidak terlepas daripada kenaikan apabila peningkatan dilaporkan berlaku menjelang hujung tahun ini atau Januari hadapan.
Menurutnya, kenaikan yang dijangka berlaku lagi nanti dilihat beriringan dengan perniagaan yang mula merosot sejak Julai lalu ekoran laporan peningkatan harga barang.
“Barang asas alat ganti sememangnya naik seperti minyak enjin, tayar, rantai, sprocket dan pelapik brek yang meningkat antara tiga hingga lapan peratus.
“Pada tahun ini sahaja sudah dua kali harga barang dinaikkan, kali pertama adalah pada Januari yang disebabkan oleh masalah pengangkutan akibat sekatan pergerakan menyebabkan bekalan kurang dan kedua pula peningkatan kos berkenaan pada pertengahan tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, pemilik bengkel di Jalan Kebun, Ismail Mat pula memaklumkan menerima notis daripada pembekal yang memaklumkan kenaikan harga barangan seperti tayar, rantai dan alat ganti lain tidak lama lagi.
“Perkara ini menjadi tekanan kepada peniaga terutama pengusaha bengkel yang baru bangkit selepas penutupan perniagaan selama hampir enam bulan.
“Tiga kali kenaikan harga dialami pada tahun ini sahaja. Memang tidak dapat elak, pengguna pun mengeluh dengan membandingkan harga lama dan baharu pada tahun ini,” luahnya. – UTUSAN
Tinjauan harga alat ganti motosikal di sekitar Shah Alam
Tayar motosikal saiz 80 / 90:
Harga kedai alat ganti: RM53 – RM58 (harga baharu) / RM49 – RM54 (harga lama)
Harga bengkel: RM75 – RM125 / RM65 – RM70
Tayar motosikal saiz 70 / 90:
Kedai alat ganti: RM43 – RM48 / RM40 – RM45
Bengkel: RM65 – RM115 / RM55 – RM80
Minyak hitam mineral 1 liter
Kedai alat ganti: RM10 – RM20 / RM7.00 – RM15
Bengkel: RM15 hingga RM18 / RM15 – RM18
Minyak hitam sintetik penuh / separa 1 liter
Kedai alat ganti: RM30 – RM35 / RM23 – RM33
Bengkel: RM38 – RM42 / RM29 – RM38
Rantai motosikal biasa
Kedai alat ganti: RM15 – RM20 / RM12 – RM17
Bengkel: RM48 – RM78 / RM45 – RM75
Pelapik brek
Kedai alat ganti: RM4 – RM8 / RM3 – RM7
Bengkel: RM14 – RM25 / RM8 – RM20