'Harap banjir tak berlarutan seperti bencana 1971' - Seri Paduka - Utusan Malaysia

‘Harap banjir tak berlarutan seperti bencana 1971’ – Seri Paduka

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melawat mangsa yang ditempatkan di salah sebuah pusat pemindahan sementara di ibu negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga cuaca akan bertambah baik.

Seri Paduka bertitah demikian ketika berkenan berangkat melawat mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru hari ini.

Al-Sultan Abdullah juga mahu semua berdoa agar bencana banjir tidak berlarutan serta fenomena banjir terbesar pada 1971 tidak berulang.

Seri Paduka berkenan meluangkan masa hampir saju jam dari pukul 11.15 pagi menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di PPS tersebut.

Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mereka dengan harapan ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir kilat susulan hujan lebat sejak 48 jam lepas.

Keberangkatan Seri Paduka mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat tanpa mengira masa, tempat dan cuaca.

Dalam masa yang sama, Seri Paduka berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di empat lagi PPS di Dewan Hamzah (Dang Wangi), Pusat Komuniti Sentul, SRJK Tamil Saraswathy dan Dewan Sri Endah Seputeh di Brickfields.

Dalam catatan Istana Negara, Seri Paduka menasihati rakyat yang terkesan akibat banjir supaya bersabar dan redha dalam menghadapi ujian serta dugaan yang menimpa mereka.

“Seri Paduka turut menasihati rakyat supaya mematuhi semua nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang. Seri Paduka menzahirkan harapan agar semua pihak membuat persediaan rapi memandangkan cuaca diramalkan kurang baik pada bulan ini (Disember) dan Januari.

“Seri Paduka menyeru agensi-agensi kerajaan untuk turun menghulurkan segala bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dengan lebih pantas, termasuk khemah-khemah yang mencukupi di PPS untuk keselesaan mangsa-mangsa banjir,” jelas Istana Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya