Hakisan teruk, Pantai Pasir Panjang Panjang bakal lenyap  - Utusan Malaysia

Hakisan teruk, Pantai Pasir Panjang Panjang bakal lenyap 

KEADAAN terkini Pantai Pasir, Panjang, Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang yang semakin terjejas akibat hakisan pasir yang teruk sejak Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Destinasi perkelahan popular penduduk setempat dan pelancong di Pantai Pasir Panjang, Pulau Betong di sini dibimbangi bakal lenyap berikutan kejadian hakisan pasir yang teruk sejak beberapa bulan lalu.

Lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari Pekan Simpang Ampat itu merupakan kawasan tumpuan pengunjung menikmati keindahan pantai serta flora dan fauna selain menempatkan bangunan Kem Bina Negara Balik Pulau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata, pihaknya berdepan kebimbangan apabila mendapati lokasi pantai berkenaan semakin hilang ditenggelami arus laut ekoran kejadian air pasang besar dan tiupan angin kencang selatan sejak Ogos lalu.

Menurutnya, hasil tinjauan pihaknya kelmarin mendapati pukulan ombak mencecah hingga ke struktur hadapan tangga batu selain kesan terdapat kesan tembok pecah di sempadan Kem Bina Negara di situ.

“Fenomena cuaca menyebabkan ombak besar membadai pantai tersebut dan hakisan kemungkinan berlaku disebabkan tiada benteng pemecah ombak dibina di lokasi berkenaan.

“Kami bimbang dengan struktur pasir pantai yang semakin longgar sehingga memberi kesan terhadap kawasan perkelahan pelancong sekali gus mengakibatkan Kem Bina Negara dan pantai itu hilang terus daripada pandangan. Ini juga bakal jadi lipatan sejarah untuk generasi akan datang.

“Bukan setakat itu, kejadian ombak besar yang menghakis pantai sepanjang satu kilometer itu juga menyebabkan lebih 20 batang pokok ru bakal tumbang,” katanya di sini semalam.

Mohd. Tuah memberitahu, pihaknya telah meminta kerjasama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memantau keselamatan pengunjung di situ bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Saya telah memaklumkan kejadian ini kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Barat Daya untuk diambil tindakan segera dan akan disusuli dengan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tindakan selanjutnya,” tambahnya.

Pantai Pasir Panjang pernah dilanda kejadian ombak besar atau tsunami pada 26 Disember 2004 sehingga mengorbankan lima beradik dan seorang wanita yang sarat mengandung enam bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya