SHAH ALAM: “Sudah macam ‘Keluarga 69’, hendak jadi apa ini? Emak macam ini, bapa macam ini. Cukup-cukuplah, jangan jadikan penjara sebagai tempat kematian, biarlah mati elok-elok.”
Demikian tegur Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd. Halim Aman di sini, hari ini sebelum menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap tertuduh, Noraini Yusof, 57, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis syabu seberat 52.20 gram, dua tahun lalu.
Mahkamah mengecualikan hukuman sebat memandangkan tertuduh adalah seorang wanita.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap tertuduh bagi satu lagi pertuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.20 gram, dua tahun lalu.
Mahkamah membenarkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 17 Februari 2019.
Abd. Halim turut menegur tertuduh supaya menjadikan hukuman itu sebagai pengajaran dan berharap supaya anak-anak tertuduh yang lain tidak terjebak ke kancah dadah.
“Suami pergi macam itu (menjalani hukuman di penjara kerana kesalahan dadah), kenapa ikut? Kamu boleh berfikir apa akan jadi kepada anak-anak kamu. Sebagai ibu, macam mana kamu hendak tunjuk tauladan baik kepada anak? Tidak akan ada kesudahan. Kalau sudah tunjang begitu, tidak kukuh, tidak kuat, macam mana nanti?,” soalnya.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, Noraini yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis sehingga mengakibatkan kakinya bengkak didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 52.20 gram.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang memiliki empat cahaya mata termasuk seorang anak bertugas sebagai anggota polis di Muar, Johor didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.20 gram.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta yang sama, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bandar Sri Damansara, Petaling pada pukul 1 petang, 17 Februari 2019.
Sementara itu, anak ketiga Noraini, Sharifah Maliatul Syed Mohd. Azhar, 23, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pilihan selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik kes berkenaan.
Abd. Halim sebelum membenarkan permohonan itu turut menasihatkan Sharifah Maliatul untuk mencari pekerjaan bagi menyara kehidupannya dan mengisi masa dengan melakukan kerja yang berfaedah.
“Cari kerja elok-elok, jangan memilih sangat. Asal boleh menanggung diri kamu sendiri, kerja elok-elok. Penuhkan masa dengan kerja, jangan sibukkan diri dengan WhatsApp atau Tik Tok,” ujarnya.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Zuraini Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam bela, S. Suresh dan Siti Nurul Jannah Rizali.
Terdahulu, Zuraini dalam mitigasinya memohon hukuman setimpal diberikan memandangkan tertuduh bukan sahaja menyebabkan anaknya terlibat sama malah faktor usianya tidak menghalang dia melakukan kesalahan sedemikian.
“Dia (tertuduh) seolah tidak mengambil iktibar kesalahan dilakukan suaminya yang sedang menghadapi hukuman penjara lapan tahun dan akan dibebaskan pada 21 Disember 2023.
“Pihak pendakwaan berharap mahkamah melihat kepentingan tertuduh hendaklah diseimbangkan dengan kepentingan awam dan memohon hukuman setimpal diberikan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE