KUALA LUMPUR : Susulan banjir yang melanda di banyak kawasan, pasukan Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Pas turut membantu menyelamatkan mangsa-mangsa banjir.
Kerja-kerja tersebut dilakukan bersama dengan agensi kerajaan yang terlibat.
Dalam hal ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru untuk semua rakyat Malaysia berdoa semoga Allah melindungi daripada musibah yang melanda.
“Saya amat bersimpati terhadap rakyat yang ditimpa musibah banjir yang sedang berlaku ini.
“Situasi yang dihadapi amat mencemaskan rakyat. Sampai sekarang hujan turun tidak berhenti.
“Sudah puluhan ribu menjadi mangsa banjir. Rumah, perabot dan kereta ditenggalami air. Ramai yang terkandas di jalan raya sehingga berlaku kesesakan jalan raya.
“Teruskan berdoa dan bersabar, semoga Allah memelihara seluruh rakyat dan negara kita daripada musibah ini,” katanya.
Hujan lebat dilaporkan sejak Jumaat menyebabkan banyak kawasan perumahan khususnya sekitar Klang, Selangor dan Lembah Klang dinaiki air.
Susulan daripada itu, kawasan tersebut menerima kesan terburuk selepas lebih 3,000 mangsa dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS).