PETALING JAYA: Gurdwara Sahib Petaling Jaya (GSPJ) kekal komited menyalurkan bantuan terutamanya makanan kepada mangsa banjir dengan bantuan kira-kira 1,000 sukarelawan pelbagai kaum dari sekitar Lembah Klang.
Presidennya, Awtar Singh Terry berkata, inisiatif GSPJ untuk membantu mangsa banjir tercetus pada Sabtu apabila air mulai naik di kebanyakan kawasan di Selangor.
“GSPJ memutuskan untuk mengambil inisiatif membantu mangsa banjir di sekitar Klang dan Shah Alam. Pada pukul 6 pagi, sukarelawan tiba di sini dan kami mula memasak untuk memberi makanan secara percuma kepada mangsa tanpa mengira bangsa serta agama.
“Perkara ini bukan sesuatu yang baharu dibuat oleh GSPJ kerana pada hari biasa juga kami memberi hidangan kepada mereka yang berada di sekitar Petaling Jaya untuk menjamu selera secara percuma,” katanya semasa ditemui oleh Utusan Malaysia.
Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melawat kuil tersebut dan menjelaskan bahawa hukum bagi mereka yang beragama Islam tidak salah untuk memakan makanan bukan Islam jika dalam keadaan darurat.
Awtar Singh berkata, GSPJ sedia maklum akan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan hidangan yang disediakan oleh mereka tidak halal dan haram bagi warga muslim untuk menjamah hidangan tersebut.
“Hidangan yang disediakan GSPJ adalah tidak mempunyai apa-apa daging binatang hanya melibatkan sayur-sayuran sahaja. Malah, bukan orang bukan Islam sahaja yang memasak tetapi ada juga orang muslim membantu menyiapkan hidangan.
“Ini adalah inisiatif bagi membantu mangsa-mangsa banjir, kami bukan sahaja menyalurkan hidangan panas tetapi turut ada bantuan asas seperti lampin dan susu bayi untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa,” jelasnya.
Sementara itu, beliau mendedahkan kepada Utusan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil makanan daripada GSPJ dan memberikan hidangan tersebut kepada mangsa dengan menggunakan logo kumpulan lain.
“Ada kumpulan sukarelawan lain yang meminta makanan daripada GSPJ tetapi guna logo mereka untuk beri hidangan, saya agak kecewa dengan hal itu kerana saya taknak ada yang mempolitikan inisiatif kami. Usaha ini adalah sumbangan dari rakyat ke rakyat,” tegasnya.
Tambahnya, GSPJ sudah memberi bantuan makanan melebihi 65,000 hidangan dan akan terus membantu mangsa-mangsa bencana banjir di seluruh negara bagi meringankan beban golongan tersebut.
“Pagi ini sahaja kami sudah menghantar lima lori ke daerah Pahang seperti Mentakab dan Bentong,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE