Guna air paya, kolam basuh rumah - Utusan Malaysia

Guna air paya, kolam basuh rumah

KEADAAN sebuah rumah penduduk yang masih dipenuhi lumpur ekoran ketiadaan air bersih bagi tujuan pembersihan di Kampung Batu Hampar di Mentakab, Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Bukan sahaja diuji musibah banjir yang merosakkan harta benda dan tanaman, malah penduduk di Kampung Batu Hampar, Mentakab di sini berdepan masalah cukup rumit iaitu tekanan air rendah yang menyukarkan mereka membersihkan rumah.

Kesannya, penduduk terpaksa mengambil air paya dan kolam untuk membersihkan rumah mereka yang berlumpur ekoran musibah berkenaan.

Sejak pulang ke rumah bermula Sabtu lalu, penduduk membabitkan 20 buah rumah di situ juga belum menerima bekalan air bersih, jika ada pun pada pukul 12 tengah malam atau awal pagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Batu Hampar, Ra Sharifudin Mohd. Yusof, 60, berkata, masalah tekanan air rendah di kampung itu telah berlarutan sejak sekian lama tanpa sebarang penyelesaian.

“Paling terasa waktu banjir inilah apabila mangsa lain di kampung sebelah bawah seperti Kampung Gajah Mati, Sungai Buloh dan Kampung Batu Kapor masing-masing membasuh rumah kesan banjir, kami di sini langsung tiada air.

“Terpaksalah kami ambil air dari paya berdekatan dan kolam untuk membasuh rumah ekoran banjir yang sangat tidak diduga kali ini.

“Kami berharap masalah tekanan air rendah ini dapat segera diselesaikan oleh pihak berwajib. Kalau nak cakap tentang masalah, pelbagai masalah kami hadapi di sini yang boleh diibaratkan seperti agak dipinggirkan.

“Ambil contoh bantuan banjir sahaja, cukup susah untuk sampai. Jika ada pihak masuk ke sini adalah bantuan kepada kami, kami boleh dikatakan sebagai kampung paling terpencil dan hujung di Mentakab,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi penduduk kampung itu, Maimun Derahim, 57, berkata, musibah banjir kali ini sangat tidak diduga oleh penduduk kerana kawasan kampung itu ibarat laut ekoran dinaiki air.

Jelasnya, setiap tahun memang berlaku banjir di situ tetapi air tidak sampai masuk ke dalam rumah dan mereka hanya terputus hubungan untuk keluar. .

Katanya, masalah utama penduduk di kampung tersebut ketika ini adalah tiada bekalan air bersih untuk membasuh rumah dan peralatan yang dipenuhi lumpur ekoran banjir kali ini.

“Masalah air ini (tekanan rendah) sudah terlalu lama. Mujur kami ada buat kolam di rumah, dapatlah kami guna air itu untuk membersihkan rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya