PETALING JAYA: Perbicaraan kes rasuah dihadapi oleh Lim Guan Eng diteruskan tanpa kehadirannya apabila bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu kini dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, sejak Ahad lalu untuk menjalani prosedur perubatan.
Perkara itu dimaklumkan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
Dalam pada itu, seorang pegawai kepada Ahli Parlimen Bagan meminta Utusan Malaysia menghubungi Guan Eng atau keluarganya sendiri untuk mengetahui keadaan terkini pemimpin tersebut.
Terdahulu, Gobind di hadapan Hakim Azura Alwi memaklumkan bahawa anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke IJN sejak Ahad kerana melakukan satu prosedur perubatan dan beliau telah diberikan sijil cuti sakit hingga esok.
Gobind berkata, jika perbicaraan diteruskan, mahkamah boleh mendengar dahulu keterangan tiga saksi formal tanpa kehadiran Guan Eng.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin meluahkan kekesalannya dengan ketidakhadiran tertuduh pada prosiding tersebut walhal tiga saksi dari Pulau Pinang hadir dan bersedia memberi keterangan.
Ujarnya, Guan Eng telah mengadakan temu janji dengan doktor di IJN pada 7 Disember lalu dan memilih untuk dimasukkan ke wad pada Ahad sedangkan tertuduh mengetahui perbicaraan telah ditetapkan hingga esok.
Meskipun pihak pendakwaan merakamkan rasa simpati dengan keadaan kesihatannya dan berharap tertuduh segera sembuh, beliau berharap penangguhan kes tidak lagi berulang.
Wan Shaharuddin menyatakan, semua pihak tidak dapat mengelak daripada diserang penyakit, namun Guan Eng perlu bertanggungjawab kerana tertuduh sebelum ini turut mempunyai isu kehadiran di mahkamah termasuk isu kuarantin dan persidangan Parlimen.
Mahkamah namun membenarkan prosiding perbicaraan hari ini dan esok diteruskan tanpa kehadiran Guan Eng dengan mengguna pakai Seksyen 264 Kanun Acara Jenayah.
Prosiding kemudian disambung dengan mendengar keterangan tiga saksi pendakwaan yang pernah terlibat dengan perjalanan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (MMKN).
Mereka ialah bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Ketua Menteri, S. Vijayalakchimi; bekas Setiausaha (MMKN), M. Maheswari dan bekas Setiauasaha Sulit Ketua Menteri, Ng Wee Kok.
Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai berbilion ringgit.
Zarul Ahmad merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG). yang dilantik sebagai kontraktor bagi projek berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar. – UTUSAN ONLINE