Golongan muda intai peluang kerjaya, saran program acara tahunan

Golongan muda intai peluang kerjaya, saran program acara tahunan

ORANG ramai menyertai pertandingan e-Sukan pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelbagai aktiviti kerjaya dan pendidikan dalam Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang bermula 9 sehingga 12 Disember berjaya menarik minat golongan remaja terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia, rata-rata daripada mereka menyifatkan program sebegini sangat bermanfaat untuk menerokai peluang kerjaya sama ada dalam sektor swasta dan kerajaan.

ANNUR NAIRAH KATCHUN

Bagi pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Annur Nairah Katchun, 18, berkata, menerusi aktiviti Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, dia dapat menambah ilmu dan pengetahuan yang diperlukan sebelum menempuh alam pekerjaan.

Malah, dia dalam masa yang sama turut berharap program tersebut dapat diperluaskan ke negeri lain serta dijadikan sebagai acara tahunan pada masa akan datang.

“Saya kini sudah tahu hala tuju dan peluang kerjaya yang boleh saya ceburi apabila tamat pengajian nanti. Selain itu saya juga dapat mempersiapkan diri dengan keperluan penting yang diperlukan oleh mana-mana majikan untuk melantik kakitangan mereka.

PENGUNJUNG melihat aset yang digunakan anggota tentera di gerai pameran Kementerian Pertahanan pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – FOTO/SHIDDIEQIIN ZON

“Justeru saya sangat berharap program sebegini dapat dijadikan sebagai acara tahunan dan diadakan di beberapa negeri lain agar golongan muda seperti saya menerima maklumat secukupnya berkaitan peluang yang boleh diceburi sama ada dalam bidang pendidikan atau kerjaya,” katanya di sini semalam.

Antara aktiviti yang disediakan sepanjang empat hari Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) termasuklah Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia, I’m Youth dan Perkhidmatan Langsung Agensi Kerajaan di samping kaunter Diskaun Saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Lebih 24,000 peluang kerjaya menanti pencari kerja dalam Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Sumber Manusia.

NUR ASHILA ASIM

Dalam pada itu, pelajar jurusan Sumber Manusia, Nur Ashila Asim, 18, berkata, dia mendapat banyak pendedahan bukan sahaja berkaitan pelajaran dan kerjaya tetapi dalam bidang perniagaan dan sukan elektronik (e-Sukan).

“Saya sempat melawat beberapa ruang pameran milik agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Secara tidak langsung saya didedahkan dengan kerjaya yang tidak pernah saya tahu sebelum ini.

“Selain itu, ada banyak aktiviti yang sudah semestinya memberi pelbagai faedah untuk masyarakat dan kita perlu gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mengejar impian serta masa depan,” jelasnya.

Bagi peserta program, Imran Mohd. Yazid, 19, berkata, dia melihat acara sebegini sebagai platform kepada semua untuk bertukar pandangan dan maklumat serta menjalin kerjasama dalam pelbagai aspek. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya