PETALING JAYA: Pertubuhan Gerak Tani menggesa kerajaan membuat taksiran segera kerosakan dan kemusnahan yang dialami oleh para petani dan penternak yang mengalami kerugian akibat banjir.
Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, ini kerana berdasarkan maklumat awal, sebahagian daripada para petani dan penternak mengalami kerugian penuh.
Malah katanya, mereka juga tentu sahaja berdepan masa hadapan yang sukar untuk memulakan semula projek tanaman, ternakan dan produk mereka.
“Ada dikalangan petani dan pengusaha mendakwa, pampasan dan bantuan ketika banjir sebelum ini pun belum diperoleh, walaupun aduan dan maklumat telah disalurkan kepada agensi dan jabatan berkenaan.
“Justeru, kecekapan dan susulan segera mesti dilakukan. Kerenah birokrasi yang sering dipersoalkan masyarakat petani dapat ditangani,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Menurut Mazlan, pihaknya menyatakan simpati atas ujian yang dihadapi oleh masyarakat tani akibat bencana yang melanda.
“Pertubuhan Gerak Tani di setiap negeri telah diarah untuk menjadi pemudah cara kepada petani yang terkesan kepada agensi dan jabatan kerajaan terbabit,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE