GEORGETOWN: Laluan menghala ke pusat bandar negeri ini mula sesak dengan kenderaan luar termasuk penduduk tempatan yang mahu menikmati cuti Tahun Baharu 2022 esok.
Kesesakan berlaku sejak pukul 4 petang tadi dari Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu di Jelutong menghala ke Lebuh Megazine dan Weld Quay sehingga ke Padang Kota Lama.
Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Aishah Rahman, 39, berkata, dia terpaksa menempuh kesesakan jalan raya dari Jelutong hampir 45 minit biarpun kurang tiga kilometer ke menuju pusat bandar.
Menurutnya, dia sudah menjangkakan berlaku kesesakan beberapa laluan utama di negeri ini berikutan cuti umum sambutan Tahun Baharu esok.
“Kami sudah merancang sebulan lalu untuk bercuti ke Pulau Mutiara dan menikmati tempat percutian menarik serta makanan popular nasi kandar di negeri ini.
“Terpaksa juga tempuh kesesakan untuk sampai ke lokasi penginapan berdekatan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Kompleks Chowrasta. Kami harap tidak berlaku kesesakan luar biasa sepanjang percutian selama tiga hari di sini,” katanya di sini.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 45, pula mengingatkan kepada pengunjung luar dan tempatan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang percutian di negeri ini.
“Penularan Covid-19 belum berakhir dan sama-samalah kita membantu mencegah dan menyekat virus tersebut.
“Elak bersesak di premis-premis makanan terutama yang menghidangkan hidangan popular di negeri ini seperti restoran nasi kandar dan pasembur,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE