'Geng Gopi' tumpas selepas pecah rumah - Utusan Malaysia

‘Geng Gopi’ tumpas selepas pecah rumah

AHMAD Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh menunjukkan gambar kereta Proton Iswara milik majikan pengadu disyaki dicuri oleh 'Geng Gopi' yang dipercayai memecah masuk rumah mangsa di Batu 10, Teluk Panglima Garang di Kuala Langat, Selangor, Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat lelaki termasuk seorang warga asing dipercayai kumpulan ‘Geng Gopi’ ditahan polis dalam dua serbuan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan pecah sebuah rumah di Batu 10, Teluk Panglima Garang, Kuala Langat, Selasa lalu.

Tiga lelaki ditahan selepas satu laporan polis dibuat oleh pemilik rumah berusia 51 tahun itu pukul 4.30 petang pada hari  sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata, mereka ditahan di sebuah premis kimpalan paip yang lama tidak beroperasi terletak di Batu 4, Seksyen 36, Shah Alam.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Balai Polis Telok Panglima Garang membuat serbuan di sebuah premis kira-kira pukul 6 petang selepas menerima maklumat daripada laporan berkenaan.

“Hasil serbuan tersebut, polis memberkas tiga lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan satu warga asing. Polis juga menemukan semula kunci dan kenderaan mangsa serta merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di kawasan Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, hasil siasatan terhadap tiga suspek pertama, polis kemudian membuat serbuan kedua dekat sebuah rumah kira-kira pukul 11 malam di Bukit Kemuning, Klang.

“Hasil soal siasat suspek yang ditangkap, serbuan kedua dibuat dan memberkas ketua kumpulan yang juga warga tempatan di lokasi berdekatan serta merampas semula pasport milik mangsa,” jelasnya.

Ahmad Ridhwan menambah, siasatan lanjut terhadap kesemua suspek mendapati mereka melakukan kegiatan pecah rumah dan curi sejak dua tahun lalu.

Tambahnya, empat suspek berusia 30-an itu dikenal pasti mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah manakala ketua kumpulannya mempunyai 21 rekod jenayah lampau.

Susulan penangkapan itu juga, kesemua suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah seksyen 457/379A Kanun Keseksaan iaitu memecah masuk rumah dan mencuri kenderaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Jelas beliau, susulan penangkapan suspek, polis percaya menyelesaikan enam kes pecah rumah di kawasan Telok Panglima Garang serta dua kes curi kenderaan di kawasan Telok Panglima Garang dan Klang. 

Ahmad Ridhwan dalam kenyataan sama memberitahu, penahanan keempat-empat suspek dibuat selepas seorang lelaki pemilik rumah di Telok Panglima Garang mengadu rumahnya dipecah masuk oleh beberapa individu tidak dikenali.

Beliau menambah, pengadu yang bekerja sebagai pemandu itu memaklumkan, barang – barang yang hilang adalah helmet jenis LS2, pasport, kunci kenderaan dan sebuah kereta jenis Proton Iswara milik majikannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya