SHAH ALAM: Suasana di sebuah pusat beli belah di Setia Alam di sini, gempar apabila sebuah kereta terbakar di parkir premis itu, petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu melibatkan Proton Waja yang dipercayai mengalami kebakaran pada bahagian enjin.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata,, operasi disertai sepasukan enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik.
“Setibanya di lokasi, anggota kita bersama sebuah jentera bomba segera bertindak memadamkan kebakaran itu. Ia melibatkan 40 peratus kebakaran dan berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Tambah Norazam, kejadian itu tidak melibatkan mangsa dan pemandunya sempat keluar dari kereta tersebut.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 49 saat memaparkan beberapa individu sedang memadamkan kebakaran kereta itu dengan menggunakan alat pemadam api. – UTUSAN ONLINE