KUANTAN: Tiga daerah di negeri ini dijangka berdepan dengan banjir teruk apabila menerima limpahan air dari hulu Pahang dalam masa terdekat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A. Rahman berkata, tiga daerah tersebut ialah Kuantan, Rompin dan Pekan.
Menurutnya, kebarangkalian itu dibuat selepas melihat perubahan aliran air Sungai Pahang yang kemungkinan mengalir ke kawasan lebih rendah.
“Kita bersedia dengan kemungkinan itu dan sudah meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah atau berhampiran sungai supaya bersedia dengan gelombang banjir seterusnya.
“Walaupun jika merujuk kepada ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia dalam tempoh sehingga 25 Disember ini tiada hujan lebat yang boleh membawa kepada banjir, tetapi limpahan air dari hulu Sungai Pahang ke hilir, tetap berlaku.
“Kita yakin, ia tidak akan menyebabkan pemindahan mangsa yang ramai seperti yang berlaku hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan banjir di taman perumahan Cenderawasih di sini hari ini.
Che Adam turut memaklumkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang meningkat secara drastik kepada 39,796 orang melibatkan 10,776 keluarga.
“Semua mangsa telah dipindahkan ke 280 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan sembilan daerah. Setakat ini, kita sudah merekodkan lapan kematian,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang agihan bantuan, katanya, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaporkan diri terlebih dahulu di pusat kawalan banjir di sembilan daerah bagi memudahkan pengawalan bantuan.
“Kaedah ini bagi mengelak pertindihan sumbangan di sesebuah tempat pemindahan sementara sehingga mendatangkan pembaziran,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai juga dinasihatkan tidak menyebarkan khabar angin atau maklumat tidak sahih dalam media sosial berkaitan banjir di negeri ini.
“Semua tindakan itu boleh mengakibatkan situasi panik dalam kalangan orang ramai,” katanya.