Gambar lama sengaja ditularkan - Utusan Malaysia

Gambar lama sengaja ditularkan

SITI KAMSIAH HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Gambar tular didakwa budak perempuan fasih berbahasa Melayu kononnya rakyat negara ini yang ditemukan polis Thailand meminta sedekah di negara itu merupakan gambar lama yang ditularkan semula.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, gambar kanak-kanak berkenaan pernah ditularkan pada 2015 dan kenyataan media telah pun dibuat oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ketika itu.

Kata beliau, pada masa sama, maklumat mengenai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tertera pada gambar berkenaan juga tidak benar.

“Kemungkinan maklumat palsu itu sengaja disebar pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambah Siti Kamsiah, orang ramai dinasihati supaya menghentikan penyebaran maklumat palsu begitu.

Terdahulu, gambar kanak-kanak perempuan berkenaan tersebar di laman sosial supaya sesiapa yang mengenali kanak-kanak itu menghubungi seorang pegawai SPRM dikenali Kamarudin seperti yang tertera di dalam gambar berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman menafikan identiti dan gambar budak itu pernah wujud di dalam portal kanak-kanak hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Gambar tular berkenaan turut mendakwa kanak-kanak itu telah diselamatkan pihak berkuasa Thailand selepas mendapati dia meminta sedekah dengan menggunakan bahasa Malaysia.

Maklumat tertera pada gambar berkenaan turut mendakwa kanak-kanak itu adalah mangsa culik oleh sindiket di negara ini sebelum dibawa lari ke Thailand.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN