LIPIS: Kehilangan seorang lelaki yang gagal dihubungi isterinya selama dua minggu terjawab apabila mayatnya ditemukan orang awam dalam kawasan semak Kampung Daling, Padang Tengku, dekat sini pada Khamis lalu.
Mayat mangsa, Tengku Suhaimi Tengku Yusoff, 54, ditemukan terbaring dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan tiada sebarang kesan kecederaan atau kesan darah serta tiada sebarang senjata ditemukan dalam kereta atau di kawasan berhampiran.
Tengku Suhaimi merupakan guru yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gua Musang, Kelantan.
Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, setelah menerima maklumat orang awam, anggota polis dari Balai Polis Padang Tengku bergegas ke tempat kejadian dan telah menemukan mayat seorang lelaki dalam kenderaan tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kenderaan pacuan empat roda itu berwarna kelabu metalik, manakala pemeriksaan ke atas nombor plat mendapati pemiliknya merupakan seorang wanita.
“Polis berjaya memperoleh nombor telefon wanita itu lalu menghubunginya dan dia mengakui isteri kepada mangsa yang ditemukan dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, ketika kejadian, guru berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur pulang ke Gua Musang.
Beliau berkata, sebelum itu isterinya memaklumkan suaminya tidak balik ke rumah lebih dua minggu dan banyak kali membuat panggilan, tetapi tidak dijawab.
Katanya, hasil siasatan tidak menemukan sebarang unsur jenayah, kesan darah, kecederaan serta juga tidak ditemukan senjata di tempat kejadian.
“Hasil bedah siasat semalam mengesahkan guru tersebut meninggal dunia akibat serangan jantung dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Jelasnya, jenazah Tengku Suhaimi telah dituntut oleh isterinya dan dikebumikan di Kampung Lebu, Bentong semalam.