Fenomena air pasang besar landa Pontian  - Utusan Malaysia

Fenomena air pasang besar landa Pontian 

PEKAN Benut antara kawasan yang turut dilanda fenomena air pasang besar pada pagi tadi di Pontian, Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Beberapa lokasi di daerah ini dilanda fenomena air pasang pagi ini termasuk di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak, Bandar Pontian Kecil, Perhentian Bas Benut dan Kampung Tampok Laut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Azhar Abd. Manap berkata, fenomena terbabit bermula pada pukul 8 pagi dengan kemuncak kejadian itu direkodkan berlaku pada pukul 11 pagi.

Katanya, air pasang setinggi 3.15 meter menyebabkan berlakunya limpahan air ke kawasan tumpuan ramai seperti Terminal Pengangkutan Awam di Pusat Perdagangan Pontian dan sekitarnya.

Limpahan air yang sama turut berlaku di Jalan Taib di Bandar Pontian Kecil dari Sungai Pontian Kecil menyebabkan pengguna kenderaan terpaksa mengharungi jalan dipenuhi air.

“Air pasang turut berlaku di Kawasan Perhentian Bas Benut serta Kampung Nelayan Benut yang merupakan pemandangan biasa jika berlaku fenomena air pasang besar pada setiap tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Azhar, fenomena sama di Kampung Tampok Laut turut menyebabkan kebun-kebun pisang diusahakan penduduk digenangi air manakala beberapa rumah turut menerima kesan fenomena tersebut.

“Kami akan sentiasa melakukan pemantauan ke kawasan yang berisiko terutama yang berhampiran dengan pantai bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian berkata, keadaan ketika ini adalah terkawal dan tiada sebarang pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

“Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan berwaspada dengan fenomena air pasang besar dan perlu segera menghubungi pihak berkuasa jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya