KUALA KRAI: Keadaan banjir di sekitar jajahan ini belum kritikal sebagaimana disangka, biarpun klip video mengenai fenomena kepala air dikatakan ‘mengganas’ di Lata Berangin, dekat sini, hari ini tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Suzaimi Mohamed berkata, pihaknya tidak mengkategorikan kejadian itu sebagai ‘kepala air’, sebaliknya sebagai ‘air bukit’ yang sering berlaku ketika hujan lebat.
Beliau bagaimanapun menasihatkan penduduk di Kuala Krai bersiap-sedia berdepan gelombang kedua banjir yang sudah bermula di negeri ini dan berpindah awal bagi mengelak sebarang tragedi.
“Kawasan yang sudah dinaiki air di Kuala Krai ialah kawasan sekitar Chuchuh Puteri A akibat limpahan air Sungai Sok serta kawasan Chenulang.
“Setakat lewat petang ini, seramai 80 mangsa daripada 18 keluarga sudah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Komuniti Chuchuh Puteri A,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, satu klip video tular dalam platform media sosial TikTok dan Facebook yang memaparkan Air Terjun Lata Berangin di Kuala Krai, Kelantan dalam keadaan ‘menakutkan’, hari ini.
Video tersebut menunjukkan keadaan air terjun di situ seakan-akan dilanda curahan fenomena kepala air kira-kira pukul 10.30 pagi tadi. – UTUSAN ONLINE