TASEK GELUGOR: Prihatin dengan nasib mangsa banjir di beberapa negeri khususnya di sekitar Lembah Kelang dan Pantai Timur ketika ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang mengambil inisiatif mewujudkan tabung bencana.
Pengarah FAMA negeri, Mohd. Azraie Ramli berkata, tabung itu diharap dapat membantu meringankan beban mereka yang terlibat dengan bencana itu khususnya kalangan petani serta warga FAMA.
“Apabila berlakunya banjir besar seperti ini, tanaman juga akan musnah sama sekali dan mereka (mangsa banjir) perlu memulakan semula kehidupan termasuk mendapatkan tempat tinggal yang baharu dan sebagainya.
“Buat masa ini, kita tidak letakkan sebarang sasaran (dari segi jumlah pungutan untuk tabung bencana), namun kita telah hebahkan perkara ini kepada masyarakat setempat yang hadir ke program yang kita anjurkan supaya mereka turut membantu sekadar termampu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program jualan istimewa MyRakyat@Ara Kuda yang diadakan sempena pelancaran Kedai Agrobazaar Ara Kuda, di sini semalam.
Memulakan operasinya sejak 30 November lalu, Agrobazaar Ara Kuda yang diuruskan FAMA Corporation Sdn. Bhd. itu menawarkan lebih 3,000 jenis produk seperti barangan dapur serta barangan keperluan harian termasuk produk keluaran usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta produk Agromas.
Pada masa sama, barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan boleh didapati di kedai tersebut yang beroperasi antara pukul 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Dalam perkembangan lain, kata Mohd. Azraie, pihaknya menubuhkan sebuah bilik gerakan di peringkat FAMA negeri bermula Sabtu lalu sebagai persediaan awal untuk mendepani bencana lebih buruk.
“Musim tengkujuh ini biasanya akan berlarutan sehingga ke bulan Januari dan Februari tahun depan. Kita harap dengan adanya bilik gerakan ini dapat berfungsi sebagai pusat untuk membantu golongan sasar seperti para petani yang mengalami kesukaran membawa keluar hasil pertanian mereka,” katanya.
Tambah beliau, kewujudan bilik gerakan itu juga menunjukkan kebersamaan FAMA negeri dengan masyarakat, entiti swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan dalam membantu membuat persediaan menggerakkan bantuan ke mana sahaja lokasi atau destinasi yang terkesan akibat banjir pada musim tengkujuh.