FAMA bakal bekal produk agromakanan 60 kapal tuna - Utusan Malaysia

FAMA bakal bekal produk agromakanan 60 kapal tuna

RONALD Kiandee (tengah) meninjau bekalan untuk stok kru kapal tuna selepas majlis MoU antara FAMACorp dengan AORB di Selayang semalam. – Ihsan FAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dijangka mampu dalam membekalkan produk agromakanan untuk kru 60 buah kapal tuna beroperasi di Lautan Hindi.

Jaminan potensi besar yang bernilai RM3 juta atau RM50,000 bagi sebuah kapal jenis C3 itu bakal memberi manfaat kepada ramai peladang tempatan sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

Inisiatif itu hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikatnya, FAMA Corporation Sdn. Bhd. (FAMACorp.) dengan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB).

Menurut kenyataan agensi berkenaan, hasrat itu mula dinyatakan syarikat beribu pejabat di ibu negara dan turut memiliki pangkalan di Pelabuhan Perikanan Batu Maung, Pulau Pinang.

“Kerjasama ini membolehkan FAMA terlibat urusan pembekalan barang makanan iaitu sayur dan buah, bagi keperluan kru kapal penangkapan ikan tuna belayar ke Lautan Hindi,” katanya.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif FAMACorp., Faidz Afizi Mohamed dan Pengarah Eksekutif AORB, Simon Pua di ibu pejabat FAMA di Selayang, dekat sini semalam.

Ia disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Pengerusi FAMA, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh dan Pengerusi AORB, Datuk Muhammad Abdullah.

AORB merupakan pengusaha kapal tuna berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan ketika ini ada empat buah jenis C3 namun akan bertambah kepada 16 lagi pada tahun depan.

Malah ujarnya, melalui kerjasama dengan syarikat itu, FAMA dijangka boleh memberi bekalan keperluan bahan agromakanan lagi kepada sejumlah 60 kapal tersebut sepanjang 2022 kelak.

Ini berdasarkan kejayaan ketika pra pembekalan stok makanan yang dilakukan telah FAMACorp. pada 2 November lalu melibatkan nilai RM35,000 kepada dua buah kapal tuna milik AORB.

Bekalan itu jelasnya, melibatkan sejumlah 56 unit sedia stok melalui Pusat Borong FAMACorp. Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan menerima bahan terus daripada lima sumber berdekatan.

Ia meliputi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena, Kedah membekalkan halia, manakala Pertubuhan Peladang Kebangsaan pula dengan ayam dari peserta ladang kontrak.

Tidak ketinggalan ialah peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan dari Ara Kuda, Tasek Gelugor yang ditugaskan khusus untuk membekalkan pelbagai jenis sayur dan buah berdaun.

“Sementara itu, kumpulan usahawan industri makanan membekalkan sos, kicap, keropok ikan dan kopi, serta PPK Sungai Chenaam, Nibong Tebal pula dengan ikan sejuk beku,” katanya.

Skop kerjasama MoU itu juga membabitkan memudahcara melalui apa-apa kaedah selain mewujudkan wadah perkongsian maklumat termasuk logistik dan teknikal serta isu akses stok. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya