KUALA TERENGGANU: Sebanyak enam stesen sungai di negeri ini dijangka melepasi paras bahaya bermula petang ini jika hujan berterusan.
Berdasarkan infografik Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), dua daripada stesen itu melibatkan daerah Besut diikuti tiga lagi di Setiu manakala Hulu Terengganu di Sungai Telemong di Kuala Ping.
“Di Besut, setakat pukul 11 pagi ini, paras semasa stesen Sungai Besut di Jambatan Keruak kini mencecah 34.6 meter manakala di stesen Kampung La pula yang ketika ini 19.31 meter diramalkan melepasi tahap bahaya pada pukul 4 petang.
“Bagi Setiu pula, paras air di stesen Sungai Nerus di Kampung Langkap kini ialah 19.21 meter, Sungai Setiu di Kampung Besut (16.2 meter) dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok (6.71 meter),” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Rosman Abdullah berkata, pihaknya giat memantau lokasi berisiko banjir susulan kenaikan paras air sungai.
Beliau tidak menolak kemungkinan banjir boleh berlaku jika Terengganu menerima hujan lebat berterusan.
“Bagaimanapun cuaca di seluruh negeri setakat pagi ini kebanyakannya renyai-renyai bersilih ganti selain mendung dan berangin. Kita akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan berisiko,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir akan berlaku di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor bermula esok dan Sabtu susulan amaran hujan berterusan tahap waspada. – UTUSAN ONLINE