KEMAMAN: Enam sekeluarga yang menjalani kuarantin di Kampung Bukit Kuang di sini nyaris maut apabila rumah kayu dihuni mereka dihempap pokok kelapa dalam kejadian ribut dan hujan lebat, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Nur Shahidah Ratmat, 34, berkata, insiden berlaku ketika dia bersama lima anak yang berusia antara satu hingga 11 tahun tidur di ruang tamu manakala suaminya, Ahmad Sukri Abdul Ghani, 39, dikuarantin di Kuala Terengganu kerana positif Covid-19.
“Rumah saya kecil dan tiada bilik, jadi kami semua tidur di ruang tamu. Saya terjaga kerana anak bongsu menangis, pada masa itu angin sangat kuat seperti bergoncang dan kami anak beranak berpelukan kerana takut.
“Belum 30 minit dilanda ribut, kami dikejutkan pula dengan pokok kelapa menghempap rumah dan jatuh kurang selangkah dari tempat duduk, mujurlah kami semua selamat,” katanya ketika ditemui.
Nur Shahidah berkata, walaupun mereka kini dikuarantin tetapi dia terpaksa menghubungi ahli keluarga untuk meminta bantuan dan kini menumpang sementara di rumah ibu mentua yang terletak berhampiran.
Kata suri rumah itu, kekangan kewangan berikutan suami tiada pekerjaan tetap menyebabkan mereka tiada pilihan selain menghuni rumah kayu berusia lebih 40 tahun milik keluarga Ahmad Sukri.
“Tetapi saya buntu nasib kami anak-beranak kerana rumah itu mungkin sudah tidak boleh didiami lagi berikutan dinding runtuh dan atap tercabut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya masih mengumpul jumlah kediaman yang terlibat dalam kejadian ribut di daerah ini, Dungun dan Kuala Terengganu.
“Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai di sini, sebanyak 79 rumah terjejas dan ketika ini semua wakil rakyat sudah diarahkan untuk mengenal pasti penduduk terjejas dan segera membaiki kerosakan itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE