JASIN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menerima sekurang-kurangnya enam aduan berhubung salah laku pemalsuan keputusan ujian saringan Covid-19 melibatkan pengamal perubatan swasta, dedah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya akan bertindak membuat laporan polis berhubung aduan membabitkan sebuah klinik swasta di negeri ini.
Jelasnya, ia susulan JKN telah mempunyai bukti untuk membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Walaupun kes ini terpencil dan hanya melibatkan lima atau enam aduan, namun ia satu kes yang amat serius dan kita tidak boleh bertolak ansur kerana ia melibatkan keselamatan pesakit dan masyarakat.
“Kita telah menerima beberapa aduan melibatkan sebuah klinik swasta yang telah memalsukan keputusan kit ujian pantas (RTK) daripada positif kepada negatif,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Merlimau di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, seorang doktor di sebuah klinik swasta terkenal di negeri ini didakwa bersubahat dengan pesakitnya untuk mengubah keputusan ujian RTK Covid-19 daripada positif menjadi negatif.
Akibat daripada tindakan tidak bertanggungjawab itu, pesakit Covid-19 itu kini terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka kerana lewat mendapat rawatan.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal menambah, hasil siasatan mendapati, pesakit mengaku berpakat dengan doktor berkenaan, lantas menyebabkan dia tidak mendapat rawatan peringkat awal.
“Saya percaya kredibiliti doktor-doktor swasta di Melaka, tetapi apabila melibatkan salah laku integriti atau ketidakjujuran. Saya mohon agar elaklah demi keselamatan semua,” tegasnya.