JELEBU: Empat lelaki termasuk dua kakitangan Telekom Malaysia (TM) yang terkandas hampir lima hari di Gunung Telapak Buruk di sini, dibawa turun dengan selamat oleh anggota bomba petang tadi.
Komanden Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Asree Abd. Hamid berkata, keempat-empat mangsa yang terdiri daripada dua pekerja TM dan dua pengawal keselamatan mendaki gunung tersebut Sabtu lalu atas urusan kerja.
“Bagaimanapun, disebabkan cuaca buruk mangsa terputus hubungan dan tidak dapat turun dari gunung dan terperangkap antara empat ke lima hari.
“Selain itu, keadaan laluan yang dipenuhi dengan pokok tumbang dan tanah runtuh juga menyukarkan mangsa turun,” katanya ketika dihubungi di sini.
Jelas Mohd. Asree, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu digerakkan ke lokasi kejadian pada pukul 8.15 pagi bagi operasi menyelamat.
“Kesemua mangsa dibawa turun dengan bantuan unit helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang pada pukul 3.20 petang tadi. Mangsa berada dalam keadaan selamat dengan salah seorang mengalami kecederaan dan terseliuh di bahagian kaki, mereka kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai, Seremban,” katanya. – UTUSAN ONLINE