ALOR GAJAH: Sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki empat sekeluarga hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Kampung Pulau Semut di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kereta yang dipandu seorang lelaki, Mohd. Azrul A. Sukur, 34, dalam perjalanan dari rumahnya di Solok Mangga menghala ke Pekan Masjid Tanah.
Katanya, siasatan awal mendapati, kenderaan mangsa berada di lokasi kejadian dan terdapat kesan serpihan kereta di atas jalan tersebut.
Jelasnya, akibat kemalangan itu, mangsa yang juga anggota tentera mengalami kecederaan hidung berdarah serta koyak paha kanan, kini sedang mendapatkan rawatan di Zon Kuning Hospital Melaka.
“Isteri mangsa, Nurmunirah Sukiman berusia 30 tahun turut mengalami kecederaan hidung berdarah.
“Dua anak lelaki mangsa masing-masing berusia lima dan tiga tahun, patah kaki kanan dan disahkan mengalami gegaran kepala. Anak mangsa kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.
“Keadaan jalan lurus, satu lorong dua hala. Keadaan lalu lintas adalah baik manakala keadaan cuaca hujan renyai-renyai. Kita percaya kemalangan disebabkan oleh hujan renyai yang menyebabkan permukaan jalan basah serta kegagalan mengawal kenderaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Arshad, kes berkenaan disiasat di bawah Sek 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.