RAUB: Banjir kilat berlaku di dua buah kampung kawasan Ulu Dong di daerah ini berikutan hujan lebat selama tiga jam sejak awal pagi semalam.
Banjir kilat yang bermula pukul 9 pagi itu menyebabkan empat buah rumah yang terdiri daripada 23 orang ahli keluarga penduduk di Kampung Peruas dan Kampung Pamah Rawas dinaiki air.
Bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan pemindahan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Kejadian itu juga menyebabkan jalan raya berdekatan Kampung Pamah Rawas yang menghubungkan ke pekan kecil Dong mengalami kerosakan dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan YP Mantainence menjalankan kerja membaik pulih dengan menambah beberapa buah pembentung.
Penduduk Kampung Pamah Rawas, Nur Amin Nor Azahar, 31, berkata, hujan lebat sebelum waktu Subuh menyebabkan kenaikan paras air anak Sungai Peruas dan Sungai Cherlang di Ulu Dong sehingga melimpah ke kawasan kediaman.
“Banjir kilat ini tidak melibatkan pemindahan mangsa manakala peralatan di sebuah rumah terbabit mengalami kerosakan kecil akibat dimasuki air.
“Kejadian ini juga melibatkan kerosakan jalan raya berdekatan kampung ini yang menghubungkan ke pekan Dong dan kerja membaik pulih sudah dilakukan oleh JKR, hanya cuma boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda,” katanya di Kampung Pamah Rawas dekat sini hari ini.
Nur Amin yang juga Pengerusi Persatuan Belia Kampung Pamah Rawas selanjutnya berkata, sukarelawan belia di situ sudah bersiap siaga untuk membantu pihak berkuasa jika berlaku banjir memandangkan keadaan cuaca musim tengkujuh yang kerap berlaku hujan lebat.
Sementara itu, mangsa banjir yang juga seorang warga emas di Pamah Rawas, Dzulkifli Kudin, 67, berkata, kejadian itu selepas dia selesai solat Subuh apabila air mula memasuki kediamannya.
“Saya beserta empat ahli keluarga selamat dan cuma sedikit sahaja barang keperluan rumah mengalami kerosakan kecil kerana tidak sempat diangkat ke tempat tinggi.
“Namun, kami penduduk di sini sentiasa berwaspada kemungkinan banjir akan berlaku memandangkan keadaan hujan tidak menentu dan air sungai masih melimpah,” katanya.