Empat individu bunuh ejen insurans didakwa di mahkamah - Utusan Malaysia

Empat individu bunuh ejen insurans didakwa di mahkamah

EMPAT individu yang didakwa membunuh seorang ejen insurans di bawa ke Kompleks Mahkamah Seremban, Seremban 2, Seremban bagi dituduh di Mahkamah Majistret Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Empat individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ejen insurans.

Ia susulan penemuan satu rangka manusia di dalam semak berhampiran kawasan Gadong, Tanjong Sepat di Kuala Langat, Selangor pada 2 Disember lalu. 

Kesemua tertuduh, S. Jeeva, 51,  M. Bereamalah, 39, M. Raja, 35, dan P. Yogan Pillay, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret, Norzaliza Tesmin.

Difahamkan, Jeeva merupakan pengarah syarikat, Bereamalah seorang ejen insurans, Raja pula tiada pekerjaan tetap manakala Yogan Pillay seorang pemandu lori.Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin. 

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh secara bersama menyebabkan kematian ke atas mangsa seorang ejen insurans, P. Rajasegar, 52. 

Kesalahan itu dilakukan di hadapan Menara Zurich, Jalan Lintang di Seremban antara pukul 10.30 pagi, 12 November 2021 hingga 4.45 petang, 2 Disember 2021. Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau dengan penjara selama 30 tahun dan jika tidak dikenakan hukum mati, boleh disebat.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat. Kes akan disebut semula pada 26 Januari ini.

Berdasarkan fakta kes, kejadian bermotifkan peras ugut itu bermula apabila pihak polis pada 12 November lalu telah menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 44 tahun yang bekerja di sebuah syarikat insurans di Seremban memaklumkan suaminya yang bekerja di syarikat sama telah gagal dihubungi. Ia selepas suaminya itu keluar berseorangan dengan menaiki kereta jenis Honda CRV pada hari yang sama.

Pada 16 November, kereta mangsa telah ditemukan di tepi Jalan Permata Kiri Kampung Olak Lempit, Banting, Selangor dalam keadaan berkunci namun mangsa tiada di lokasi. Seterusnya, pada 2 Disember lalu, pihak polis telah menemui satu rangka manusia di dalam semak berhampiran kawasan Gadong, Tanjong Sepat, Kuala Langat, Selangor dipercayai mayat mangsa. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya