PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat laporan harian kepada seluruh rakyat berhubung situasi terkini banjir.
Perdana Menteri berkata, penglibatan seluruh barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana itu harus berada di tahap sentiasa bersedia.
“Saya telah mengarahkan Nadma, PDRM, bomba dan ATM membuat laporan harian kepada seluruh Keluarga Malaysia mulai hari ini.
“Penglibatan daripada seluruh barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana ini harus berada di tahap sentiasa bersedia,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.
Menurut Ismail Sabri, sidang akhbar harian dimulakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryll Sani Abdullah Sani pada pukul 10 pagi diikuti Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada 12 tengah hari.
Jelas beliau, sidang akhbar kemudian diteruskan oleh Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pukul 2 petang dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr. Aminuddin bin Hassim pada 4 petang.
“Saya yakin laporan ini dapat memberi gambaran jelas situasi terkini bencana di seluruh negara,” katanya.
Terdahulu, keempat-empat sidang akhbar itu dimulakan hari ini dan berlangsung di Bilik Operasi NADMA, Persiaran Kemuning Prima, Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. – UTUSAN ONLINE