Ejen bersama tujuh PATI ditahan seludup masuk Sabah - Utusan Malaysia

Ejen bersama tujuh PATI ditahan seludup masuk Sabah

Ejen warga tempatan dan tujuh PATI warga Indonesia yang ditahan berhadapan Stesen Minyak Petron, Batu 3, Tawau semalam. -IHSAN ATB 2
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Seorang lelaki tempatan dipercayai ejen yang membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan bersama tujuh PATI warga Indonesia di Stesen Minyak Petron, Batu 3, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, kesemua PATI itu dilihat baharu tiba menaiki sebuah bot di perkampungan atas air di Batu 3 sebelum bertindak menaiki kenderaan dipandu lelaki tempatan tersebut.

Komander Angkatan Tentera Bersama (ATB) 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, pergerakan bot dinaiki kesemua PATI itu dikesan semasa Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) melakukan rondaan Op Benteng Bersama di perkampungan atas air berkenaan.

Selepas bot itu beredar, kelihatan lima individu dewasa serta dua kanak-kanak tergesa-gesa memasuki sebuah kenderaan Toyota Corolla yang sedang menunggu di kawasan berhampiran.

“Pasukan QRF bertindak mengekori rapat dan menahan kenderaan tersebut berhadapan Stesen Minyak Petron.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 50 tahun dipercayai ejen dan tujuh warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen berada di dalam kenderaan tersebut.

“Tujuh warga Indonesia itu terdiri daripada dua lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berusia antara lima hingga 47 tahun. Kesemua mereka membawa barang persendirian.

“Maklumat awal mendapati kesemua mereka dibawa menaiki bot yang telah diatur oleh ejen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau. Kemudian, mereka diambil oleh ejen yang menunggu menggunakan kenderaan darat menuju ke bandar Tawau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Karim berkata, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 turut melaporkan penahanan tersebut kepada Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk mendapatkan bantuan Op Cegah PATI Daratan.

Kesemua tahanan termasuk lelaki warga tempatan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan lanjut dan kesemua PATI diarah untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

Lelaki tempatan itu akan disisasat mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 manakala, PATI disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Jelas beliau, ATB 2 akan sentiasa memperketatkan kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan sebarang cabaran serta ancaman keselamatan demi kedaulatan pantai timur Sabah.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya