DUN Negeri Sembilan lulus turun had umur calon ADUN - Utusan Malaysia

DUN Negeri Sembilan lulus turun had umur calon ADUN

DUN Negeri Sembilan hari ini meluluskan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2021 bagi menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2021 bagi menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan terhadap Perkara 49 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 itu dipersetujui 32 orang ADUN daripada 36 orang ADUN keseluruhan. Empat ADUN tidak hadir bagi sesi pengundian tersebut.

Ketika mencadangkan bacaan kali kedua rang undang-undang tersebut, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pindaan tersebut adalah bagi mengikut Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Seksyen 4 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603) untuk tujuan yang sama.

Jelas beliau, sekiranya kerajaan negeri tidak meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan mengikut Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan itu, beberapa implikasi akan timbul sekiranya pilihan raya Parlimen dan DUN diadakan secara serentak.

“Ia termasuklah, kejanggalan daripada segi perbezaan umur minimum calon yang boleh bertanding sebagai ahli Dewan Rakyat dan ADUN kerana seseorang yang berumur 18 tahun boleh bertanding sebagai calon ahli Dewan Rakyat tetapi tidak boleh bertanding sebagai calon ADUN selagi belum mencapai umur 21 tahun.

“Pelaksanaan yang tidak seragam dengan negeri-negeri lain yang telah membuat pindaan selaras dengan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

“Petisyen pilihan raya juga boleh difailkan untuk mencabar keputusan pegawai pengurus kelak sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981,” jelas beliau.

Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) ketika perbahasan turut menyambut baik pindaan bagi had umur calon ADUN tersebut diturunkan dan menyifatkan ia selaras dengan kehendak rakyat.

“Golongan muda dapat menentukan masa depan dan seiring peredaran zaman, golongan muda penting dalam proses pembentukan dasar dan membawa politik yang lebih progresif,” katanya.

Loke Siew Fook (PH-Chennah) pula berkata pindaan tersebut merupakan langkah tepat dan seiring dengan perkembangan politik semasa.

Sementara itu, pindaan terhadap Perkara 38 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 iaitu untuk menghadkan tempoh jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada dua penggal bagaimanapun tidak mendapat sokongan dua pertiga ADUN.

Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Omar menangguhkan persidangan kali ini ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya