Duit mangsa kemalangan bertaburan, orang ramai bantu kutip - Utusan Malaysia

Duit mangsa kemalangan bertaburan, orang ramai bantu kutip

TANGKAP layar rakaman video memaparkan orang ramai membantu mengutip duit yang bertaburan di jalan dipercayai miik seorang penoreh getah yang maut dalam kemalangan di KM 68, Jalan Jeniang-Sik/Pedu dekat Kampung Landai, Belantik, di Sik hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Seorang penoreh yang dalam perjalanan pulang membawa duit hasil jualan getah sekerap maut selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di di Kilometer (KM) 68 Jalan Jeniang-Sik/Pedu dekat Kampung Landai, Belantik  di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, wang milik Mohd. Salleh Mat Isa, 41, bertaburan di tempat kejadian sebelum dikutip oleh orang ramai untuk diserahkan semula kepada ahli keluarganya.

Video berdurasi 37 saat yang dirakam seorang pengguna jalan raya menunjukkan sikap terpuji beberapa orang lelaki mengutip duit yang bertaburan manakala beberapa orang lagi dilihat membantu mangsa yang terbaring sambil mengawasi laluan sebelum ketibaan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdul Razak Osman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 41 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Melaka, Mukim Sok selepas menjual getah sekerap di sebuah kedai pemborong di Kampung Landai di sini.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM 110cc dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan dilanggar secara berhadapan oleh Mitsubishi Pajero yang dipandu seorang lelaki berumur 36 tahun yang ketika kejadian dalam perjalanan dari Sik ke Belantik.

“Akibat pelanggaran pada jarak dekat itu, motosikal mangsa remuk manakala kenderaan pacuan empat roda itu hanya mengalami rosak di bahagian hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Razak menambah, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu yang berumur 36 tahun dan berasal dari Masai, Johor tidak mengalami sebaran kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya