MELAKA: Pusat tumpuan pelancong di Jonker Street dan Jonker Walk, Banda Hilir di sini direkodkan sebagai lokasi bebas jenayah ragut selama dua tahun berturut-turut.
Pencapaian itu membanggakan kerana lokasi berkenaan adalah kawasan ‘panas’ yang sesak dikunjungi hampir 10,000 orang sehari.
Data yang dikeluarkan kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis sebelum ini memaklumkan, seorang pengunjung dianggarkan memperuntukan perbelanjaan sekitar RM250 untuk membeli-belah di situ.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kejadian ragut sejak 2020 sehingga November lalu.
Katanya, kali terakhir jenayah itu direkodkan adalah pada 2019 dengan hanya 11 kes direkodkan sepanjang tahun.
“Statistik menunjukkan lokasi tumpuan Jonker Walk di sini bebas daripada jenayah ragut sejak tahun lalu sehingga kini dengan sifar kes direkodkan.
“Kita hanya merekodkan 11 kes sepanjang 2019,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut mengenai pencapaian itu, beliau memberitahu, jenayah tersebut dikekang melalui rondaan berterusan pasukan unit pelancong polis serta kerjasama masyarakat.
“Seramai 23 anggota unit pelancong dikerahkan untuk melakukan rondaan di lokasi-lokasi yang dikesan berisiko untuk jenayah itu berlaku.
“Selain itu, masyarakat di kawasan itu turut memainkan peranan penting dengan memberikan kerjasama penuh atas setiap saranan diberikan polis termasuk tindakan memasang lampu di laluan gelap,” jelasnya.
Ujarnya, meskipun kini sektor pelancongan kembali rancak dengan jumlah kemasukan tinggi pelancong, tahap keselamatan di tempat tumpuan itu amat memuaskan dan kekal bersih daripada jenayah berkenaan. – UTUSAN ONLINE