HULU TERENGGANU: Seorang nenek berdepan ujian berat apabila dua cucunya maut serentak ketika dalam perjalanan untuk mengambil motosikal anak sulungnya yang terlibat kemalangan di Kuala Berang di sini, semalam.
Alias Ali, 66, berkata, pemergian sekelip mata Muhammad Haiqal Abdullah, 18, dan Muhammad Izman Hamidi Abdullah, 16, itu mengejutkan ahli keluarga kerana berlaku kira-kira dua jam selepas mereka menerima berita kemalangan Asah Bidin, 40-an pada pukul 12 tengah hari.
“Anak saya tidak mengalami kecederaan serius, namun belum sempat menarik nafas lega, tiba-tiba dikejutkan dengan berita dua cucu saya kemalangan maut ketika dalam perjalanan untuk mengambil motosikal ibu saudara mereka.
“Mangsa merupakan sepupu dan rapat sejak kecil termasuk sering keluar bersama-sama kerana tinggal bersebelahan, saya tidak sangka mereka ‘pergi’ serentak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Cheting di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.25 petang itu, kedua-dua sepupu yang menaiki motosikal Honda Beat dikatakan melanggar bucu belakang lori kelapa sawit yang berundur di Jalan Kampung Pelandan-Cheting.
Jenazah mereka selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Cheting kira-kira pukul 10.30 malam, semalam.
Ibu kepada Muhammad Izman Hamidi, Normala Bidin, 40, berkata, dia dimaklumkan mengenai tragedi menimpa anaknya itu kurang 15 minit selepas mangsa keluar bersama Muhammad Haiqal.
“Semalam saya balik lewat dari kerja tetapi sempat berjumpa dengan arwah di rumah sebelum dia keluar, saya pesan padanya agar berhati-hati dan tidak sangka itu kenangan terakhir bersamanya.
“Dia anak yang baik dan menjadi harapan kami sekeluarga, namun Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya. – UTUSAN