KUANTAN: Prihatin dengan nasib menimpa mangsa banjir, dua sahabat menawarkan khidmat membaiki alat elektronik secara percuma khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan di daerah ini.
Antara alat elektrik yang dibaiki mereka adalah seperti mesin basuh, peti ais, televisyen dan banyak lagi.
Muhamad Allami Zainuddin, 33, berkata, perkhidmatan itu dilakukan bersama rakannya, Abdul Raftri Abdullah, 25.
Menurutnya, mereka merasa simpati melihat keadaan banjir memusnahkan hampir semua perkakas elektrik di setiap rumah yang terlibat.
“Kami menjangkakan antara 80 hingga 90 peratus barangan elektronik tidak boleh digunakan dan perlu dibaik pulih. Mereka (mangsa banjir) perlu dibantu dengan menawarkan khidmat percuma seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Perumahan Inderapura, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Allami berkata, perkhidmatan itu dikongsi melalui aplikasi WhatsApp dan tidak menyangka ia tular dalam kalangan warga Kuantan.
Katanya, sambutan menggalakkan dan ramai yang menghubunginya untuk mendapatkan khidmat tersebut.
“Setakat hari ini, saya sudah menerima lebih 200 permintaan daripada penduduk di sekitar Kuantan untuk memeriksa dan membaiki mesin basuh dan peti ais di rumah mereka.
“Kebiasaannya kos bagi memeriksa barangan elektronik bermula RM80 hingga RM100 dan itu tidak termasuk membaiki kerosakan dan kadar tersebut sudah tentu membebankan golongan tidak berkemampuan ketika ini,” katanya. – UTUSAN