SHAH ALAM: Tindakan dua lelaki menyamar sebagai Pegawai Imigresen membawa padah apabila direman semalam selepas ditahan 15 Disember lalu kerana disyaki mencederakan seorang lelaki warganegara India di Banting, Kuala Langat dan memeras majikanya.
Kedua-dua lelaki berusia awal 30-an terbabit ditahan disekitar Klang diselepas mendapat maklumat risikan daripada D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, ketika ditahan, polis turut merampas beberapa barangan milik suspek termasuk sebuah kereta yang digunakan ketika melakukan jenayah terbabit.
“Pihak polis juga berjaya merampas semula barangan mangsa iaitu telefon bimbit, kad ATM yang digunakan untuk memasukkan duit mangsa serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
“Modus operandi kumpulan ini adalah menyasarkan warganegara asing yang keluar berseorangan dan dibawa ke kawasan Klang, Selangor kemudian saspek akan memeras ugut majikan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, siasatan awal, pihak polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes samun dan menyamar penjawat awam terhadap warganegara asing di kawasan Kuala Langat.
Ahmad Ridhwan menambah, tindakan mengesan suspek diambil apabila mangsa yang juga berusia awal 30-an membuat laporan polis selepas mendakwa ditahan dua lelaki menaiki Perodua Myvi berwarna gelap di Taman Muhibbah, Banting.
“Salah seorang suspek lelaki Melayu telah perkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen daripada Shah Alam dan minta mangsa supaya menunjukkan passport kepada mereka.
“Apabila mangsa gagal menunjukkan passport, mangsa dipaksa masuk ke dalam kereta dan dibawa ke kawasan Klang Selangor,” jelasnya.
Katanya lagi, semasa dalam perjalanan, mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan dan pembantu kedai makan telah dipukul dengan menggunakan kasut dan minta wang sebanyak RM3,000 daripada majikan mangsa jika mahu dilepaskan.
Bimbang akan keselamatan mangsa, majikan mangsa masukkan sebanyak RM1500 ke dalam akaun saspek kemudian mangsa telah dilepaskan di hadapan pasar raya Mydin, Klang, Selangor.
“Kedua – dua suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau. Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Telok Datok dan saspek ditahan reman selama tujug hari di Lokap Balai Polis Banting Kuala Langat.
“Kes disiasat dibawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan melakukan samun berkumpulan dan seksyen 170 Kanun Keseksaan menyamar penjawat awam,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE