DPMM Kelantan tawar pinjaman sifar riba - Utusan Malaysia

DPMM Kelantan tawar pinjaman sifar riba

WAN ZULKIFLI WAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kelantan menawarkan pembiayaan sifar riba kepada usahawan mikro melibatkan golongan asnaf, belia, ibu tunggal dan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pembiayaan tanpa faedah itu diperkenalkan DPMM Kelantan dengan kerjasama Noble Management and Consultancy, selaku rakan pelaksana bagi MikroKredit Bangkit Bank Islam Malaysia Berhad, bermula tahun ini.

Yang Dipertua DPMM Kelantan, Wan Zulkifli Wan Abdullah memberitahu Utusan Malaysia, pembiayaan itu bakal memberi manfaat kepada lebih 2,500 ahli yang pernah berdaftar dan usahawan lain sebagai langkah membantu mereka menjana pendapatan lebih baik.

Menurutnya, program pembiayaan tersebut juga diharapkan membantu usahawan supaya tidak terjebak dengan pinjaman wang tidak berlesen atau ah long.

“Untuk permulaan, kita membantu 100 usahawan. Penerima perlu mengikut syarat ditetapkan iaitu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai penyata akaun bank selama enam bulan.

“Pembiayaan yang ditawarkan itu bermula RM500 sehingga RM20,000 bergantung kepada jenis perniagaan supaya menepati syarat,” kata ketika ditemui di Pejabat DPMM Kelantan di Jalan Telipot, di sini semalam.

Wan Zulkilfi berkata, bagi mengelak timbul masalah pada masa akan datang, pihaknya masih perlu membuat tapisan ketat dengan cara menyemak latar belakang setiap usahawan yang berminat membuat pinjaman.

Katanya, keseluruhan wang pembiayaan itu adalah berasal daripada dana wang sedekah dan wakaf kepada Bank Islam yang sememangnya dikhususkan untuk membantu para usahawan tempatan bangkit semula.

“Pembiayaan itu yang tidak dikenakan faedah bayaran atau sifar riba perlu dilangsaikan dalam tempoh antara enam bulan hingga tiga tahun bergantung kepada kemampuan para peminjam masing-masing.

“Pada masa sama kita akan memantau dan membimbing usahawan ini mengikuti program latihan berkaitan yang dibantu oleh DPMM Kelantan supaya mereka mampu bangkit semula dalam perniagaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya