MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar kini dilatik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu menggantikan penyandang, Datuk Ghazale Muhammad.
Pencalonan Khaidhirah, 37, yang lebih dikenali sebagai Dira dalam dunia seni telah dikemukakan ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan disokong ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Seramai 15 ADUN menyokong pencalonan tersebut manakala enam berkecuali dan tujuh tidak hadir ketika sesi pengundian berlangsung.
Khaidhirah yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka Kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin memenangi kerusi Rim dengan majoriti 1,327 undian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.
Beliau yang dibesarkan di Kampung Rim, Jasin di sini adalah pemegang Sarjana Dasar Awam Universiti Malaya (UM).
Terdahulu, Persidangan Pertama (Khas) DUN Melaka Ke-15 turut melantik Datuk Ibrahim Durum sebagai Yang Dipertua DUN yang baharu.
Dalam ucapan kali pertama selepas pelantikannya, Ibrahim berkata, kesemua ADUN perlu memberi kerjasama sepenuhnya bagi menunaikan amanah dan profesional berdasarkan tindak tanduk dan adab yang berintegriti, selaras dengan prinsip sistem demokrasi yang diamalkan.
“Saya akan berlaku adil dan saksama dalam menjalankan tugas dan sekiranya saya tidak berlaku adil, bermakna saya juga tidak berlaku adil pada rakyat yang telahpun membuat pemilihan di dalam pilihan raya yang lepas.
“Terima kasih dan penghargaan kepada semua ahli-ahli yang berhormat kerana mengambil keputusan memilih dan berkecuali dalam pelantikan Speaker DUN pada pagi ini,” katanya di sini hari ini.
Ibrahim yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah satu-satunya nama yang dicadangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali dan disokong ADUN Gadek, VP. Shanmugam. – UTUSAN ONLINE