KUALA LUMPUR: Gara-gara ingin mengelak daripada dikenakan denda kerana kehilangan kad pengenalan, seorang juruwang terpaksa meringkuk di penjara selama tiga hari.
Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Siti Norhidayah Mohamad Amin turut didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan dokumen tersebut.
Jumlah penalti yang dikenakan mahkamah itu adalah 20 kali ganda daripada denda yang dikenakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi kehilangan kad pengenalan kali pertama (RM100) manakala denda maksimum oleh jabatan itu ialah RM1,000.
Mengikut pertuduhan, Siti Norhidayah, 29, didakwa telah memberikan maklumat palsu kepada pegawai polis, Jamarul Azuan Abdullah pada laporan polis yang dibuatnya sehingga menyebabkan penjawat awam itu menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang untuk menyiasat kejadian samun seperti yang dilaporkan.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 1.44 pagi, 12 Disember lalu di Balai Polis Gombak dekat sini.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hasni mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Menurut fakta kes, tertuduh telah membuat laporan polis mengatakan dirinya telah disamun oleh dua lelaki bermotosikal.
Bagaimanapun hasil siasatan mendapati dompet yang mengandungi kad pengenalan wanita itu sebenarnya tercicir.
Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan, Siti Norhidayah yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya atas alasan dia membuat laporan polis palsu itu dibuat kerana bimbang dikenakan denda oleh JPN.
Khairunnisak bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap wanita itu kerana tindakan tertuduh itu telah menyusahkan banyak pihak terutama pegawai penyiasat yang menyiasat laporan polis yang dibuat tertuduh.
Majistret Nik Fadli Nik Azlan selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM2,000.
Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa hari ini dan mahkamah turut memerintahkan agar hukuman pemenjaraan itu ditambah lagi tiga hari sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.
Siti Norhidayah membayar denda terbabit.