TELUK INTAN: Polis Daerah Hilir Perak menggagalkan cubaan sepasang suami isteri warga Indonesia ‘menyelusup’ masuk ke negeri ini menggunakan kereta sewa selepas ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 30, Jalan Feri dekat Hutan Melintang, di sini, semalam.
Lelaki berusia 50 tahun dan isterinya berusia 49 tahun ditahan bersama pemandu kereta sewa berusia 62 tahun setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika melalui SJR pada pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pemeriksaan ke atas pasangan suami isteri itu gagal mengemukakan pasport dan dokumen perjalanan diri yang sah.
Katanya, tangkapan dilakukan ke atas pemandu kereta sewa jenis Proton Waja kerana dipercayai melindungi warga asing.
“Siasatan mendapati lelaki warga tempatan itu mengambil pasangan suami isteri warga asing tersebut dari Kampung Merbau Berdarah di Sungai Besar, Selangor untuk dibawa ke Ipoh bagi tujuan mencari pekerjaan. Lelaki terbabit dibayar sebanyak RM350 oleh pasangan berkenaan untuk perkhidmatan kereta sewa yang dijalankannya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk melengkapkan siasatan.
“Siasatan ke atas pemandu kenderaan itu dijalankan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki membawa dan melindungi warga asing. Pasangan warga asing itu pula ditahan di bawah Seksyen (6)(1)(c) akta sama kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya. – UTUSAN ONLINE