Dewan Negara lulus RUU Pindaan MA63 - Utusan Malaysia

Dewan Negara lulus RUU Pindaan MA63

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan majoriti lebih dua pertiga iaitu 49 menyokong, tiada yang tidak menyokong manakala lima orang tidak hadir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, sebelum ini RUU itu diluluskan Dewan Rakyat dengan majoriti lebih seramai 199 ahli Parlimen yang menyokong dan seramai 21 orang tidak hadir.

Katanya, kedua-dua pembentangan dilakukannya yang menyatakan bahawa RUU itu dapat mengembalikan kedaulatan dan hak negeri Sarawak dan Sabah.

“Sehubungan itu, RUU (Pindaan) 2021 adalah pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan pindaan kepada peruntukan Fasal (2) Perkara 1 tafsiran “the Federation” di bawah Fasal (2) Perkara 160 dan tafsiran baharu “Malaysia Day” di bawah Fasal (2) Perkara 160 dan peruntukan perenggan (a) Fasal (6) dan Fasal (7) Perkara 161A.

“Pindaan perlembagaan melalui RUU (Pindaan) 2021 ini antara lain dapat memberikan manfaat yang dapat menjelaskan kedudukan negeri Sabah dan Sarawak dalam Persekutuanselaras dengan MA63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, pindaan ini turut memberi pengiktirafan kepada MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan di mana sebelum ini tiada rujukan dibuat oleh undang-undang itu.

Katanya, pindaan itu juga memberi pengiktirafan kepada ‘Hari Malaysia’ di mana ia telah dimasukkan ke dalam tafsiran Perlembagaan Persekutuan manakala pindaan Fasal (6) dan (7) Perkara 161A dapat mengembalikan hak dan kebebasan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dalam menentukan definisi “ras asli”.

“Hal ini di mana pentafsiran definisi “ras asli” selepas ini tidak lagi tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan tetapi ditentukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui undang-undang Negeri,” jelas beliau.

Wan Junaidi memaklumkan beliau telah membuat sebanyak 15 sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Sokongan semua parti adalah penting bagi merealisasikan pindaan ini memandangkan pindaan ini memerlukan sokongan dua pertiga untuk diluluskan,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya