Debat DiRaja IPT 2021: UM, UIAM ‘berentap’ kumpul markah tertinggi - Utusan Malaysia

Debat DiRaja IPT 2021: UM, UIAM ‘berentap’ kumpul markah tertinggi

 AKSI peserta UM selaku Ketua Pembangkang ketika berdepan UiTM pada pusingan ketiga Pertandingan Debat Diraja Antara IPT 2021 secara maya hari ini. – IHSAN UPNM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus mengungguli carta Pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2021.

Selepas tamat pusingan ketiga secara maya hari ini, universiti tertua di Malaysia itu  meraih sokongan lapan juri dengan tiga kali kemenangan serta berjaya mengumpul margin enam.

Sementara itu, saingan terdekatnya yang juga juara bertahan acara bahas berprestij tahunan ini turut menang tiga kali namun hanya mendapat sokongan dari tujuh juri dengan margin 5.5.

Bagaimanapun, dari segi pengumpulan markah untuk pengisian kandungan isi hujah perdebatan setakat Pusingan 3, UIAM sudah pun menerima 2,335 berbanding UM pula sekadar 2,311.

Usul bagi pusingan tersebut ialah ‘Dewan ini sebagai IOC akan melarang negara yang memboikot Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 daripada menyertai Olimpik Musim Panas Paris 2024’.

Dua IPT awam itu bertindak selaku pihak pembangkang ketika bertemu lawan masing-masing iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Pembahas ketiga UM, Ahmad Nur Zharif muncul pendebat terbaik ketika sesi itu, manakala UIAM bagi pusingan ketiga ialah pembahas kedua, Muhammad Ilham diumum pendebat terbaik.

Ini merupakan edisi ke-22 pertandingan debat ala format Parlimen itu yang telah bermula pada 1995 lalu dengan UIAM selaku hos sulung muncul juara kategori bahasa Melayu dan Inggeris.

Pertandingan dua kategori bahasa tersebut yang disertai sejumlah 44 pasukan daripada 22 IPT ini dianjur bersama oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Debat Universiti Malaysia.

Ia turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta penglibatan Utusan Malaysia dan Kosmo! sebagai akhbar rasmi program berkenaan yang sudah pun bermula sejak semalam.

Pusingan akhir untuk kategori bahasa Inggeris akan berlangsung pada Ahad depan di Hotel Zenith, Presint 1 di sini, manakala bahasa Melayu pula keesokannya juga di lokasi yang sama.

Acara ini tiada tahun lalu ekoran kebimbangan penularan wabak Covid-19 dengan edisi ke-21 pada 2019 dihoskan Universiti Malaysia Perlis dan UIAM muncul juara kedua-dua kategori itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya