PUTRAJAYA: Meskipun tewas, Universiti Malaya (UM) tetap bergembira apabila seorang pembahasnya muncul pendebat terbaik pusingan akhir dan pendebat terbaik keseluruhan.
Dengan keputusan tidak dijangka itu, peserta institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan, Luc Choong Guong Sang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah sebanyak RM2,000.
UM pada Pertandingan Akhir Debat Diraja IPT 2021 tidak bernasib baik apabila dikalahkan musuh tradisinya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Selain beliau, pasukan UM yang bertindak selaku pembangkang diwakili Kuhan Karttikeyen Ravichandran, Danesh Ram Aggarwal Shishi Kumar dan simpanan, Catherine Alicia Nathan.
UM turut membawa pulang hadiah sebagai naib juara berbentuk trofi, wang tunai yang bernilai RM3,000 dan buku-buku sumbangan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah selaku tuan rumah kejohanan edisi kali ke-22.
Pertandingan dianjurkan bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Debat Universiti Malaysia dengan kerjasama DBP serta Utusan Malaysia dan Kosmo! sebagai akhbar rasmi.
Guong Sang, 23, ketika ditemui berkata, walaupun sedikit kecewa, beliau tetap berpuas hati kerana mereka kalah tipis 2-3 juri dan dianggap amat sengit jika dilihat dari segi kutipan mata.
“Saya tetap bangga apabila sudah mempamerkan persembahan yang terbaik dan sepatutnya boleh memang kerana tajuk usul diberikan sebenarnya boleh menyebelahi UM,” katanya lagi.
UIAM ujar beliau bagaimanapun tetap dianggap sebagai terbaik kerana hujah mereka amat mantap bagi mempertahankan usul dewan dalam pertandingan debat ala format Parlimen itu.
Ditanya apakah rahsia kejayaan dirinya mampu dinobatkan dua anugerah pendebat terbaik, Guong Sang berkata, mereka banyak berlatih dan sudah pun biasa bertemu pasukan UIAM.
Dengan sasaran menang pertandingan itu, beliau malah dengan nada merendah diri berkata, banyak kekuatan dan kelemahan UIAM diketahui mereka namun nasib tidak menyebelahi.
Penuntut tahun tiga Fakulti Undang-undang UM dan berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu turut berterima kasih kepada bapanya yang merupakan profesor fakulti pengajiannya belajar.
“Ibu saya yang juga guru di sekolah menengah saya sebelum ini juga banyak mendidik saya untuk berfikir kritikal dan mampu berani berhujah dengan fakta baik di khalayak,” jelasnya.
Bercita-cita untuk menjadi peguam selepas tamat belajar pada tahun depan, beliau bersedia mencurahkan pengalaman dirinya kepada pasukan debat UM bagi pelbagai kejohanan bahas.
Pada pertandingan separuh akhir yang berlangsung di UPNM semalam, kedua-dua pasukan IPT itu menewaskan pendebat dari Universiti Teknologi Mara dan Universiti Multimedia. -UTUSAN ONLINE