Debat DiRaja IPT 2021: UIAM, UM, USM, UPNM mara ke suku akhir - Utusan Malaysia

Debat DiRaja IPT 2021: UIAM, UM, USM, UPNM mara ke suku akhir

AKSI peserta UM selaku Perdana Menteri ketika berdepan UIAM pada pusingan keempat Pertandingan Debat Diraja Antara IPT 2021 secara maya hari ini. – IHSAN UPNM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Empat pasukan institusi pengajian tinggi (IPT) mara ke pusingan suku akhir dalam kedua-dua kategori bahasa Melayu dan Inggeris bagi Pertandingan Debat Diraja 2021.

IPT yang terlibat itu ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Pertandingan pusingan pertama sehingga keempat yang julung kali diadakan secara dalam talian itu diadakan semalam dan hari ini membabitkan 44 pasukan dari 22 IPT seluruh negara.

Buat kali pertama, UPNM menjadi tuan rumah bagi edisi ke-22 pertandingan tersebut tahun ini selepas acara berprestij itu tiada pada tahun lalu ekoran kebimbangan penularan Covid-19.

Bagi kategori bahasa Melayu, turut mara Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Kategori bahasa Inggeris pula, turut ke pusingan berikutnya itu ialah Universiti Multimedia (UMM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Acara debat ala format Parlimen itu sudah bermula pada 1995 lalu dengan UIAM selaku hos sulung pertandingan muncul sebagai juara kedua-dua kategori bahasa Melayu dan Inggeris.

Untuk peringkat saringan Pusingan 1, mereka diberi usul ‘Feminisme Lebih Menjerat Daripada Membebaskan’ dan Pusingan 2 pula “Jika Ada Kuasa, Dewan Akan Hapus Warna Di Dunia’.

Usul debat bagi Pusingan 3 ialah ‘Dewan ini sebagai IOC akan melarang negara yang boikot Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 daripada menyertai Olimpik Musim Panas Paris 2024’.

Peringkat terakhir untuk Pusingan 4 pada lewat petang ini pula menyaksikan semua IPT yang terlibat diminta membahaskan usul ‘Dewan Ini Percaya Universiti Sudah Tidak Relevan.’

Pusingan akhir untuk kategori bahasa Inggeris akan berlangsung pada Ahad depan di Hotel Zenith, Presint 1 di sini, manakala bahasa Melayu pula keesokannya juga di lokasi yang sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN