Debat Diraja IPT 2021: Penubuhan Pusat Debat rahsia UIAM lahir pembahas terbaik - Utusan Malaysia

Debat Diraja IPT 2021: Penubuhan Pusat Debat rahsia UIAM lahir pembahas terbaik

NORAINI Ahmad menyampaikan hadiah Pendebat Terbaik Peringkat Akhir Debat Diraja IPT 2021 kepada Muhammad Ilham Hafiz Azmi di Putrajaya hari ini. – UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kejayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul selaku juara berganda dalam Debat Diraja Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021 memang sudah dijangka.

Namun, tidak ramai tahu bahawa pencapaian IPT itu gah menang kedua-dua kategori bahasa Melayu dan Inggeris menerusi debat berprestij tersebut sudah dirancang awal sejak 1985 lagi.

Demikian pengakuan jujur pendebat terbaik peringkat akhir bahasa Melayu, Muhammad Ilham Hafiz Azmi yang turut terhutang budi dengan usaha UIAM mewujudkan pusat khas berkenaan.

“Di sini, kami dilatih pakar terbaik dan dibimbing dengan sasaran untuk muncul juara dalam mana-mana pertandingan debat sama ada di dalam atau luar negara,” katanya ketika ditemui selepas pelajar tahun tiga Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM itu menerima hadiah disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di sini hari ini.

IPT itu menewaskan Universiti Sultan Zainal Abidin yang julung kali mara ke pusingan akhir, sekali gus juara buat kali kelapan selepas 1995, 1999, 2001, 2007, 2010, 2016 dan 2019 lalu.

Semalam UIAM menewaskan musuh tradisi, Universiti Malaya untuk menang kategori bahasa Inggeris buat kali ke-11 selepas 1995, 1997, 2000, 2001, 2004, 2007, 2015, 2018 dan 2019.

 Mengulas lanjut, Muhammad Ilham Hafiz turut bersyukur kerana ada pengalaman berbahas peringkat menengah atas ketika menuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor.

 “Masa itu, saya baru didedahkan dengan dunia debat kerana institusi pengajian agama ini memang aktif terlibat dalam pertandingan bahas antara sekolah berasrama penuh,” katanya.

 Justeru, beliau yang menetap di Kajang, Selangor itu terus mengasah bakatnya lagi apabila melanjutkan pengajian ke IPT tersebut melalui Pusat Debat dan Oratori Dunia UIAM (IWON).

Pusat itu yang ditubuhkan dua tahun selepas UIAM dibuka, menjadi kunci rahsia kejayaan IPT ini gah melahirkan pendebat terbaik bertaraf dunia dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Lebih menarik, IWON yang diletak di bawah Bahagian Pembangunan dan Hal Ehwal Pelajar UIAM, mengadaptasi model bahas global berdasarkan gaya format Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Pendedahan setara standard antarabangsa itu membolehkan UIAM meraih juara dalam pelbagai acara debat di luar negara bermula dengan kejohanan pengucapan awam dunia 2004 lalu.

Kejayaan IWON itu meletakkan pasukan debat bahasa Inggeris UIAM pernah menduduki tangga ke-12 dunia pada 2014 selain antara terbaik di peringkat rantau ASEAN, Asia dan Australia.

“Saya juga berterima kasih kepada rakan sepasukan banyak bantu kerana kami kerja secara berkumpulan di samping pensyarah yang tidak kenal erti penat,” kata Muhammad Ilham Hafiz.

Pertandingan bahas elit ala Parlimen Asia edisi ke-22 kali ini dihoskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan dianjurkan bersama oleh Majlis Universiti Debat Malaysia (Madum).

Ia turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) manakala Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan akhbar rasmi dalam pertandingan yang melibatkan 42 pasukan itu.

Acara kali ini disertai sejumlah 23 buah IPT serta dibahagikan kepada kategori bahasa Melayu dan Inggeris dengan peringkat saringan telah diadakan secara atas talian pada minggu lepas.

Debat berkenaan sudah berlangsung sejak 1995 dengan UIAM sebagai tuan rumah edisi yang pertama namun tidak dapat dianjur tahun lalu ekoran kebimbangan isu penularan Covid-19. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya