PETALING JAYA : Setiap kali penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula turun beraksi banyak mata terarah kepadanya bagi melihat sejauh mana sumbangan pemain kelahiran Brazil itu kepada skuad Harimau Malaysia.
Aksi De Paula boleh dikatakan memberangsangkan dengan melakukan beberapa percubaan namun belum ‘berjodoh’ untuk menjaringkan gol.
Bagaimanapun, lebih mencuri tumpuan apabila dikatakan penyerang berusia 35 tahun itu kecewa ketika digantikan ketika Malaysia menang 3-1 ke atas Kemboja pada aksi pembukaan kempen Piala AFF, kelmarin.
De Paula dikatakan membaling botol ke arah bangku simpanan sebaik dikeluarkan oleh pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe.
Aksi itu dirakam media antarabangsa yang turut melaporkan De Paula sempat menjeling ke arah penyokong Malaysia yang hadir ke Stadium Bishan untuk memberikan sokongan dan turut memberikan tepukan atas sumbangannya di atas padang.
“Sebagai jurulatih, saya akan uruskan perkara ini. Mungkin dia rasa kecewa selepas tidak menjaringkan gol kerana kita tahu dia sentiasa komited dan memberikan yang terbaik pada sesi latihan.
“Tetapi saya yakin dia cukup matang untuk kendalikan situasi seperti ini. Saya harap dia akan terus bermotivasi dan memberikan contoh yang terbaik pada pasukan. Saya percaya dia akan bersedia untuk aksi seterusnya,” kata Cheng Hoe.
Pada aksi pembukaan Kumpulan B berkenaan, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu melakukan beberapa percubaan namun tuah tidak memihak apabila berjaya dihalang pertahanan ataupun diselamatkan penjaga gol Kemboja, Keo Soksela.
Dalam perkembangan lain, Harimau Malaya menerima khabar gembira selepas Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) memberikan ‘lampu hijau’ untuk melakukan pertukaran pemain membabitkan posisi penjaga gol.
Kini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan kuasa penuh kepada Cheng Hoe untuk membuat pilihan, penjaga gol mana yang akan dipanggil menyertai pasukan di Singapura.
Ketika ini, skuad negara hanya memiliki dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Antara calon yang berkemungkinan dipanggil adalah Samuel Somerville dan Azri Ghani.