DAP tidak relevan punca DAP kalah di Sarawak? - Utusan Malaysia

DAP tidak relevan punca DAP kalah di Sarawak?

Lim Kit Siang (dua kiri) bersama Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon (dua kanan) dan Phoong Jin Zhe (kanan) semasa sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyangkal dakwaan kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak berikutan parti itu tidak lagi relevan dalam arena politik tanah air.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, persoalan DAP masih relevan atau tidak, perlu serahkan kepada rakyat untuk menentukannya.

Sekiranya DAP tidak relevan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), parti ini pasti akan terkubur. Namun, beliau tidak melihat itu kesimpulan yang patut dibuat di Sarawak kerana kekalahan DAP disumbangkan oleh peratusan keluar mengundi yang rendah.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, peratusan keluar mengundi kira-kira 60 peratus menyebabkan parti itu gagal memperoleh separuh daripada 26 kerusi yang ditandingi.

“Jika bukan sebab peratusan keluar mengundi rendah dan pandemik Covid-19, lebih ramai pengundi akan keluar. Namun, kita kalah lima kerusi pun hanya dengan majoriti kecil.

“Kalau bukan sebab dua faktor ini dan faktor lain seperti halangan mengadakan ceramah yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita pasti memperoleh keputusan lebih baik,” katanya semasa sidang akhbar bagi mengulas kekalahan DAP pada PRN Sarawak.

Menurut beliau, penyokong kuat DAP dan pengundi atas pagar kebanyakan dipengaruhi oleh kempen dan isu-isu yang dimainkan pihak tertentu termasuklah penggunaan analogi penyepit bagi melambangkan masyarakat Cina.

Beliau berkata, di Melaka, DAP hanya memenangi empat kerusi sahaja namun, sekiranya peratusan keluar mengundi tinggi, mereka pasti memenangi banyak kerusi.

“Maka, saya tidak setuju bila ada orang mengatakan DAP tidak relevan dan saya mengalu-alukan orang menguji kita bagi melihat adakah kita masih relevan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, kekalahan DAP di Sarawak bukan disebabkan mereka parti nasional sebaliknya, ia berpunca daripada perpecahan undi dalam kalangan pembangkang.

Sekiranya undi pembangkang tidak berpecah, DAP pasti akan memenangi lebih banyak kerusi pada PRN Sarawak.

“Sudah tentu kalah tetap kalah tapi, kita kena belajar daripada kesilapan. Kita perlu bersatu dalam kalangan parti pembangkang. Persoalan sama ada parti tempatan atau nasional bukan isunya kerana kita perlu melihat perbezaan yang lebih mendesak dan perlu penyelesaian segera.

“Kita perlu menilai perbezaan yang lebih besar daripada persamaan yang ada. Jika kita tidak bersatu, kita akan jadi seperti Sarawak maka, kita perlu mula bekerjasama dari sekarang,” katanya.

Pada PRN Sarawak, DAP hanya memenangi dua kerusi daripada 26 kerusi yang ditandingi iaitu kerusi DUN Padungan yang dimenangi Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dan kerusi DUN Pending dimenangi Violet Yong Wui Wui.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya