PENDATANG baharu yang satu ini masih hijau di arena hiburan. Tapi, tutur katanya bagaikan remaja berpengalaman, bahkan peramah.
Pemilik nama Muhammad Danish Iskandar Muhammad Burhanuddin, 17, ini mula dikenali ketika membintangi drama rantaian Shah Alam 40,000 menerusi watak Fatah.
Jarang sekali untuk pelakon baharu terutamanya lelaki remaja menggalas watak luar dari zon selesa. Setakat watak remaja sekolah dan nakal itu biasa-biasa sahaja. Namun, watak yang diamanahkan ialah seorang lelaki lembut.
Mengulas mengenai watak sedemikian, reaksi Danish ini tidak melatah dengan pertanyaan yang dilayangkan. Katanya, sebagai seorang pelakon, dia terbuka untuk menyahut watak-watak yang bakal digalas.
“Pada mulanya saya tidak tahu lagi dapat watak itu. Dapat tahu pun daripada pengarah di lokasi penggambaran semasa ada perbincangan dan diberi keterangan mengenai watak dan perwatakan itu.
“Tapi saya terkejut juga yang mana lakonan saya menjadi. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan lega sebab watak itu susah untuk disampaikan.
“Majoriti kagum dengan persembahan yang saya tonjolkan. Saya sendiri masih tidak percaya saya boleh lakukan. Lucunya, ramai juga peminat dan pengikut menyangkakan saya ini orangnya lembut,” jelasnya.
Sedar akan kehadirannya memerlukan ilmu lakonan, Danish akan mendaftarkan diri ke kelas lakonan sedia ada untuk mengasah seni lakonnya.
“Secara umumnya, bagi saya tentang persediaan mental dan fizikal untuk berlakon ini adalah dengan melengkapkan diri ke kelas-kelas lakonan sedia ada.
“Justeru, pentingnya untuk saya masuk kelas lakonan supaya dapat lebih mendalami karakter yang akan saya bawa. Tidak kisah apa watak sekali pun.
“Masa saya berlakon watak Fatah itu pun saya daftarkan diri ke kursus ibu Fauziah Nawi untuk perwatakan Fatah,” ceritanya.
Tambah Danish yang pemurah dengan senyuman itu, selama mana dia masih berlakon, kelas lakonan akan menjadi nadi untuk menghidupkan setiap watak yang bakal dilakonkan.
IDAM WATAK PSIKO
Pertanyaan watak apa yang mahu dibawa mungkin kedengaran klise bukan? Namun sebagai pendatang baharu, soalan itu penting sebagai kayu ukur untuk mencabar kemampuan bakat lakonan mereka.
Katanya, dia mahu membawakan watak dua personaliti berbeza dalam satu masa. Baginya, walaupun watak seumpama itu berat, tapi dia percaya hasilnya akan menjadi tanda aras dalam profil lakonannya.
“Contoh watak berat yang saya nak cuba bawa seperti baik dan dalam masa sama boleh jadi jahat. Selain itu, watak-watak seperti psiko, ganas, dan yang memanipulasi.
“Kalau watak berat jadi baik seperti mudah terpedaya dan teraniaya,” tuturnya.
Ditanya mengenai hubungan bersama peminat yang setia menyokong perkembangan kariernya, Danish bersikap adil dan melayan sama rata.
“Mereka selalunya akan siarkan babak lakonan yang ditayangkan. Kemudian saya akan ulang siar semula.
“Dalam masa sama, saya akan buka ruang sesi soal jawab di Instagram Story untuk mereka bertanyakan apa sahaja soalan untuk kenali saya dengan lebih dekat.
“Dari situlah saya rapat dengan mereka. Kalau ada masa luang lebih saya akan jawab mesej Instagram mereka. Jadi begitulah saya menjaga silaturahim, Insya-Allah akan buka grup Telegram pula,” akhirinya.